KUANTAN - Selepas mereka mencuri motosikal dan meleraikan komponen satu persatu, mereka menawarkan barangan tersebut di laman sosial yang dipercayai mempunyai pelanggan tetap.

Demikian kelicikan sindiket curi motosikal iaitu Geng Ferol yang akhirnya tumpas apabila Polis Pahang berjaya menahan empat lelaki daripada geng itu di sekitar daerah ini.

Ketua Polis Pahang, Datuk Rosli  Ab Rahman berkata, keempat-empat lelaki berkenaan ditahan secara berasingan di beberapa  lokasi iaitu Peramu, Jalan Darat Makbar dan Indera Mahkota.

“Geng ini dipercayai menjalankan sindiket ini sejak beberapa bulan lalu dan dengan tertangkapnya mereka, kita dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya 16 kes kecurian motosikal di daerah ini.

"Dalam operasi itu juga, kita menahan ketua kumpulan itu dan orang tengah yang berperanan menjual semula motosikal dalam bentuk alat ganti melalui akaun Facebook," katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, hari ini.

Operasi yang dilaksanakan bermula 6 Oktober hingga kelmarin itu turut merampas tujuh buah motosikal, lapan rangka motosikal, 13 enjin motosikal, 39  kulit enjin dan beberapa jenis peralatan untuk mengubah suai nombor enjin serta casis motosikal.

Rosli berkata, pihaknya juga percaya suspek turut menggunakan khidmat kurier untuk menghantar barangan yang dipesan oleh pelanggan mereka.

"Kesemua suspek di reman bermula semalam dijangka akan didakwa Jumaat ini di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri motosikal, " katanya.

“Salah seorang suspek berusia 30 tahun juga mempunyai dua rekod lampau iaitu curi dan sengaja mendatangkan kecederaan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes kecurian motosikal boleh menghubungi balai polis yang terdekat.

"Kita mengharapkan maklumat orang ramai bagi memastikan kes-kes kecurian motosikal ini dapat dikurangkan supaya dapat menahan pihak yang terlibat," katanya.

 

 

 

 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BUKIT MERTAJAM - Gara-gara menyimpan motosikal curi di dalam bengkel, seorang mekanik terpaksa bermalam di lokap apabila dia ditahan polis dalam satu serbuan di Bandar Perai Jaya, semalam.
  • SHAH ALAM - Polis sedang memberi tumpuan menangani kes kecurian motosikal di daerah ini yang dilihat semakin meningkat dalam tempoh sebulan bermula Januari hingga awal bulan ini.
  • KOTA TINGGI - Suspek terlibat kes curi motosikal di Bandar Penawar Selasa lalu yang mana aksi rakaman jenayah mereka tular di laman Facebook berjaya ditahan dalam tempoh 24 jam selepas kejadian berlaku.
  • KOTA TINGGI - Polis sedang mengesan suspek terlibat kes curi motosikal yang berlaku Bandar Penawar petang semalam.
  • JERTIH - Tindak-tanduk seorang lelaki mencuri sebuah motosikal milik kakitangan sebuah pusat membeli-belah di bandar Jertih berjaya dirakam CCTV, pagi semalam.