KUANTAN- Polis Pahang berjaya menggagalkan cubaan lima lelaki berusia 15 hingga 30-an menjual pelbagai jenis dadah termasuk syabu, ketamin, ectasy dan eramin 5 yang sebahagiannya dibungkus menyerupai gula-gula getah, 14 Mac lalu.

Dadah bernilai RM35,221.50 yang dirampas itu dipercayai untuk pasaran pelanggan elit dan pengunjung pusat hiburan di sekitar bandar ini.

Ia dijual hingga mencecah RM250 sepaket dan punca bekalan diperoleh dari Kuala Lumpur.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang, Superintendan Lam Thiam Huat berkata, kelima-lima lelaki terbabit termasuk seorang warga Singapura ditahan ketika serbuan di dua lokasi berasingan.

Menurutnya, serbuan pertama dilakukan di sebuah rumah di Taman Maju Jaya, di sini pada jam 3.30 petang dan dua lelaki berusia lingkungan 30an, ditahan.

“Dalam pemeriksaan tersebut, kita berjaya merampas 81.7 gram (g) ketamin, 8.9g syabu, 80.1g (290 biji) pil eramin 5, 54.7g (185 biji) pil ectasy, 16 paket plastik bertulis 'Orange Coming' disyaki dadah seberat 412.8g dan 24 paket plastik bertulis 'Magic Chew' seberat 264g.

“Turut dirampas, dua kenderaan  jenis Toyota Carrier dan Proton Saga,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini, semalam.

Beliau berkata, penahanan dua lelaki terbabit membawa kepada penangkapan tiga lagi individu iaitu dua remaja 15 dan 16 tahun yang tidak bersekolah dan seorang lelaki berusia 27 tahun di hadapan Medan Selera Lot 66, Jalan Gambut 1, di sini kira-kira jam 7.30 malam, hari sama.

“Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan suspek, kita jumpa 136.9g (490 biji) pil eramin 5, 53.5g (9120 biji) pil estacy, 15.4g (40 biji) ectasy (kapsul) dan 13.8g (25 paket) ketamin.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua suspek positif methamphetamine dan tiada sebarang rekod jenayah lampau,” katanya.

Thiam Huat berkata, kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemua suspek ditahan reman selama seminggu, sejak kelmarin untuk siasatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi talian 09-5151999.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KOTA BHARU - Seramai 279 pelajar termasuk empat perempuan, positif mencuba dadah di negeri ini pada tahun ini, persidangan Dun Kelantan dimaklumkan hari ini.
  • KOTA BHARU - Isu dadah termasuk gejala pil kuda menarik perhatian Sidang Dun Kelantan hari ini apabila ia menjadi topik hangat diperbincangkan.
  • SHAH ALAM - Polis Selangor menahan 16,075 individu yang terlibat dengan gejala dadah sepanjang Januari hingga Oktober lepas, melibatkan rampasan 1,699.6 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah ‘kegemaran’ bernilai RM84.7 juta.
  • JERANTUT - Bekas pelajar, bekas guru dan seorang kakitangan awam antara yang ditahan dalam serbuan Ops Tapis Bersepadu yang dijalankan di sekitar daerah ini, malam tadi.
  • KANGAR - Tujuh individu termasuk seorang wanita Vietnam ditahan dalam tiga kes berasingan disyaki membabitkan pengedaran serta penagihan dadah di Arau dan Padang Besar dekat sini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.