CHENOR - Umpan tiruan atau gewang dilihat unik dan comel namun sebenarnya tidak mudah membentuknya.

Gewang antara ‘senjata’ utama kaki pancing bagi memastikan ikan idaman berjaya dinaikkan.

Menggunakan batang kayu pulai, prosesnya rumit dan ketelitian diperlukan bagi memastikan gewang berfungsi sepenuhnya.

Cabaran itulah terpaksa dihadapi pembuat gewang, Mohd Nasrullah Ahmad, 32, dari Kampung Baru Chenor, Maran dalam memastikan kepuasan kaki pancing dan penggemarnya.

Mohd Nasrullah atau lebih dikenali dengan panggilan Nas berkata, dia membuat gewang pada mulanya hanya sekadar mencuba.

Ketelitian dan kekemasan yang dilakukan Nas menjadikan kayu pulai lebih berkualiti sebagai gewang

Bagaimanapun, tuah Nas lebih baik apabila namanya mula menjadi sebutan peminat gewang di seluruh negara dan beberapa negera lain.

Lebih membanggakan, hasil sentuhannya juga setanding dengan jenama popular seperti Rapala dan Storm.

Malah dengan menggunakan nama NCR sebagai jenama,  gewangnya turut mendapat perhatian pelanggan Singapura, Brunei, China dan Perancis hasil jualan secara atas talian.

Justeru, sejak dia memilih bidang tersebut sejak enam tahun lalu, pem­buatan per­alatan itu kini menjadi kerjaya sepenuh masa dan sumber rezekinya.

“Saya pada mulanya saja-saja buat. Memang dari kecil suka memancing. Sebenarnya ketika berusia 11 tahun saya membuat  gewang sendiri menggunakan getah gelang selepas membaca caranya di majalah.

“Selepas itu seperti remaja lain saya perlu fokus pada persekolahan. Hanya pada 2012 minat itu kembali dan saya beranikan diri untuk mencuba.

“Ketika itu, saya makin berse­mangat dan yakin selepas gewang pertama yang dihasilkan mendapat kepercayaan rakan. Dari situ mula terima tempahan,” kata anak bongsu daripada enam beradik itu.

Kerja-kerja mengecat yang dilakukan berdasarkan warna tempahan pelanggan dan kesesuaian ikan

Guna kayu pulai

Menurutnya, dia menggunakan batang kayu pulai yang dicari di hutan dan tepi sungai.

Kayu diproses dan dikeringkan beberapa bulan sebelum dibentuk mengikut saiz ditetapkan.

“Kemudian pasang dawai, pem­berat dan sesudu. Gewang ini akan diuji dalam air bagi memastikan ia boleh digunakan berdasarkan apungan dan renangan.

“Selepas itu, kalau lulus barulah dicat untuk langkah terakhir. Dan untuk proses ini pemilihan warna mengikut kehendak pelanggan dan jenis ikan yang menjadi buruan.

“Seterusnya ia akan diuji sekali lagi di dalam air. Dah lulus baru di­keringkan guna kipas kira-kira tiga jam. Se­minggu saya boleh hasilkan hingga 20 biji gewang,” katanya.

Bekas pelajar Kejuru­teraan Elektrik Elektronik itu turut mendapat soko­ngan keluarga dan isterinya, Nor Jumida Mohamad, 32.

Mengakui masih dalam proses pembelajaran,  Nas berkata, Youtube antara medium utama yang menjadi ‘guru’ memandangkan dia sendiri tiada asas langsung dalam bidang tersebut.

“Saya juga rajin bertanya kepada mereka yang telah terlibat dalam bidang ini dan ada yang tidak kedekut berkongsi ilmu.

“Kini hasil produk saya boleh diperolehi menerusi media sosial seperti Facebook dan Instagram menggunakan nama Nas Ahmad,” katanya.

Sentiasa menggali ilmu dan terus mencuba untuk meningkatkan kualiti gewangnya, Nas masih terus belajar bagi memastikan pro­duknya terus diyakini.

“Setakat ini gewang yang saya hasilkan khas untuk ikan air tawar.  Dalam konteks perbezaan dengan  gewang import, NCR lebih sesuai untuk pemancing tempatan kerana warnanya lebih semula jadi untuk jenis ikan di negara ini.

Nas juga bersyukur kerana pem­buatan gewangnya mendapat maklum balas positif daripada pelanggan yang telah menggunakan peralatan itu.

Ada juga kaki pancing yang  memintanya menghasilkan gewang untuk di laut.

Antara hasil tangkapan yang berjaya ditawan menggunakan gewang buatannya

Hasrat buka kedai jual gewang

Menurut Nas, harga gewangnya di antara  RM25 hingga RM40 ber­gantung pada saiz.

“Saya sudah ada pelanggan tetap yang datang sendiri ke rumah selain minta diposkan. Ada juga yang beli untuk  koleksi,” katanya.

Nas juga berhasrat membuka pusat sehenti bagi pelbagai peralatan dan gewang khas untuk kaki pancing.

“Ini perancangan masa depan.Di pusat sehenti itu nanti semua pelanggan boleh dapatkan keper­luan mereka di bawah satu bumbung,” katanya.