KUANTAN - Kekerapan bekalan air terputus dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini menyukarkan kira-kira 20 penghuni Rumah Kebajikan Orang-orang Tua Seri Permai (RKOTSP) Taman Tas, di sini, untuk melakukan aktiviti harian mereka.

Sebelum ini, bekalan air di kawasan rumah kebajikan tersebut didakwa lancar dan hanya sekali sekala mengalami tekanan rendah, terutama pada waktu puncak.

Pengerusinya, Zahari Mamat berkata, di rumah kebajikan itu penggunaan air sangat banyak kerana melibatkan proses pembersihan yang kerap.

“Sejak empat tahun penubuhan RKOTSP tak ada masalah tetapi sejak kebelakangan ini kerap tiada air di sini malah berlarutan hingga beberapa hari.

“Sudah dua hari kami tak dapat jalankan aktiviti harian termasuk cuci lantai, memasak...malah  kami juga tak dapat mandikan dan cuci najis penghuni,” katanya ketika ditemui di RKOTSP, di sini semalam.

Menurutnya, penghuni kebanyakannya terlantar sakit dan nyanyuk serta perlu kerap dibersihkan.

“Penggunaan air memang sangat penting di sini untuk cuci najis...ini kerana mereka memang tak sedar dan ada yang buang air kecil atau besar lebih kerap atau merata-rata.

“Biasanya siang saja yang ada gangguan dan di sebelah malam segera kami simpan air untuk guna di masa kecemasan namun jika hingga dua hari berturut...langsung membuatkan kami terpaksa cari bekalan air di luar,” katanya.

Zahari berkata, aduan kepada pihak Pengurusan Air Pahang (Paip) sudah dibuat namun keadaan masih sama.

“Kami mohon agar pihak bertanggungjawab dapat bantu dan masalah ini dapat diselesaikan segera,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • ULU CHEKA - Penduduk Kampung Berau, di sini bimbang sumber air utama yang membekalkan air kepada mereka sejak 32 tahun lalu terjejas sekiranya aktiviti pembalakan dan perlombongan bijih besi di Sungai Lata dan Sungai Ulu Berau tidak dihentikan.
  • KUANTAN - Lebih 5,000 akaun pengguna di Raub dekat sini, akan mengalami gangguan bekalan air ekoran kerja pembersihan kebuk muka sauk Fasa 1, Loji Rawatan Air Sungai Bilut, Khamis ini.
  • KUANTAN - Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) telah menyediakan beberapa pelan tindakan bagi memastikan kelangsungan bekalan air dan meringankan kesulitan pengguna sekiranya menghadapi masalah bekalan air semasa musim perayaan.
  • KUANTAN - Bukan sehari dua, tetapi masalah gangguan bekalan air dihadapi sebahagian besar penduduk Kampung Alor Batu, Jabor di sini berlarutan sejak beberapa tahun lalu.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.