• Azri 'berusaha' demi isteri Azri menceritakan pengalaman yang hampir mengakibatkan rumah tangganya kecundang.
  • Azri 'berusaha' demi isteri Azri menunjukkan jenis ubat perangsang yang dibelinya secara online.
1 /

Terpaksa guna ubat perangsang

Kemelut dalam rumah tangga terutama melibatkan faktor seksual menjadi dilema utama pasangan untuk menanganinya kerana masih dianggap tidak manis memperkatakannya secara terbuka.

Masalah ‘dingin’ seksual seperti mengalami lemah tenaga batin atau terus ‘mati pucuk’ sering kali membawa kepada konflik perhubungan antara suami dan isteri.

Perasaan malu untuk mendapatkan rujukan pakar perubatan moden membawa kepada pilihan untuk mendapatkan rawatan tradisional atau lebih mudah membeli ubat perangsang yang hangat di pasaran.

Individu yang hanya mahu dikenali sebagai Azri, berusia 31 tahun dari Raub ketika mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga bersama pasangan pilihannya.

Namun, baru sahaja menjejaki alam perkahwinan, dilema awal muncul apabila dia gagal memenuhi tanggungjawab dalam memberikan kepuasan batin kepada isterinya.

Setiap kali ingin bersama, perasaan rendah diri sering bertandang bimbang akan ‘kalah’ lebih awal sekiranya berdepan pasangannya.

“Saya menyedari kekurangan ini (lemah tenaga batin) sejak dari bujang lagi tetapi tidak terlalu memikirkannya secara serius kerana menganggap mungkin saya penat bekerja seharian.

“Tetapi masalah timbul ketika hendak ‘bersama’ apabila saya gagal memberi persembahan terbaik, sebaliknya mengecewakan pasangan,” katanya.

Malu jumpa doktor

Permasalahan yang timbul mendatangkan tekanan kepada kedua belah pihak dan Azri memberitahu tidak pernah putus asa  untuk berubat secara tradisional.

Berdasarkan saranan kawan rapatnya, Azri beberapa kali mendapatkan rawatan tradisional daripada tukang urut tempatan.

“Beberapa kali saya mencuba kaedah rawatan tradisional dan mengikuti pantang larang yang disarankan, tetapi tetap tidak membawa hasil yang baik.

“Perasaan malu juga sangat menebal dalam diri untuk bertemu doktor bagi membincangkan perkara ini memandangkan pada usia seperti saya seharusnya tidak berhadapan masalah lemah tenaga batin,” kata Azri.

Usia perkahwinan menginjak satu tahun, Azri tidak putus-putus berusaha termasuk mendapatkan pandangan rakan.

“Saya dan isteri cukup tertekan apabila ramai orang sekeliling bertanya bila kami akan menimang cahaya mata.

“Tidak tergamak untuk membuka pekung di dada menceritakan kegagalan proses ‘bersama’ yang pasti tidak akan  berpeluang untuk mendapat anak,” katanya.

Azri berkata, pertengkaran dengan isteri juga sering terjadi hanya berpunca daripada hal remeh sahaja berikutan tidak tertanggung tekanan dihadapi berkaitan masalah batin yang dideritainya.

Katanya, ada juga beberapa kawan yang syorkan penggunaan ubat perangsang daripada herba buatan tradisional dan sebahagiannya menunjukkan keserasian.

“Pernah saya dapatkan bekalan daripada rakan yang jauh lebih berusia daripada saya, harga dua kapsul lebih kurang RM10 dan saya tidak jangka ia memberi tindak balas memuaskan.

“Tetapi tidak selamanya saya bergantung kepada rakan dan perasaan malu juga masih menebal untuk terus mendapatkan bekalan daripadanya,” kata Azri.

Beli Online di pasaran

Sebagai alternatif, Azri mendapatkan pelbagai jenis ubat perangsang yang dijual secara online sahaja tanpa perlu berasa malu kerana tidak perlu berhadapan secara terus dengan penjual.

Menurutnya, dia akan mendapatkan pengetahuan lebih mendalam tentang setiap produk terlebih dahulu sebelum mengambil keputusan untuk memesannya.

“Saya dapatkan bekalan seperti kapsul, pil, jamu, minyak dan losyen yang memberi kesan positif sepanjang penggunaan.

“Biarpun usia perkahwinan sudah menjangkau  hampir empat tahun, hubungan suami isteri bertambah baik tetapi kami masih belum dikurniakan zuriat,” kata Azri mengakhiri perbualan.