• Fokus Parlimen Bentong: Kamache sedia pikul tanggungjawab Kamache berusaha mendekati penduduk setempat walaupun bukan berasal dari Karak.
1 /

KARAK - Bekas calon yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabai pada Pilihan Raya Umum ke-12, D Kamache menyerahkan urusan pencalonan kepada pucuk pimpinan Pakatan Rakyat (PR).

Menurutnya, sekiranya terpilih menjadi calon kerusi yang sama pada pilihan raya akan datang, beliau mengakui sudah bersedia memberikan saingan hebat.

“Namun semuanya terpulang kepada pucuk pimpinan parti sama ada mencalonkan saya atau sebaliknya.  “Semasa bertanding dalam PRU12 yang lalu, saya masih mentah dalam dunia politik namun berjaya memberikan saingan hebat kepada calon Barisan Nasional (BN) dengan perbezaan undi sebanyak 145 sahaja,” katanya kepada Sinar Harian.

Kamache berkata, untuk PRU-13 ini, beliau yakin dan lebih matang untuk menempuh cabaran serta berharap dapat melakar kejayaan lebih cemerlang.

Menurutnya, menerusi gerak kerja gabungan parti di bawah Pakatan Rakyat (PR), beliau yakin kerusi Dun Sabai dapat dimenangi.

“Selepas pilihan raya umum yang lalu, saya teruskan khidmat bakti kepada penduduk kawasan ini sehingga sanggup tinggalkan pekerjaan dan mewujudkan pusat khidmat  rakyat di Karak.

“Keputusan itu saya lakukan kerana merasakan penduduk di kawasan ini memerlukan saya untuk membawa angin perubahan di sini,” katanya.

Kamache berkata, kebangkitan penduduk di kawasan Sabai ini dapat dilihat terutama generasi muda yang mana dilihat optimis menyokong PR dan diharapkan sokongan ini berterusan serta diterjemahkan dalam bentuk undi dalam pilihan raya akan datang.

Walaupun ada pihak tertentu yang mengatakan beliau bakal ‘beralih arah’ sekiranya menang kerusi Dun Sabai, namun ia disangkal dengan  keras.

“Buat apa saya ‘beralih arah’ sedangkan selama ini saya berjuang atas tiket Dap dan PR, tiada sebab saya akan berbuat demikian.

“Saya tidak akan sesekali menghancurkan harapan dan kepercayaan orang ramai dengan berpaling tadah memandangkan perjuangan saya masih belum selesai walaupun ditakdirkan menang kerusi Dun Sabai,” katanya.

Kamache berkata, walaupun bukan dirinya terpilih menjadi calon dalam pilihan raya akan datang, beliau tetap akan membantu dan menyokong sesiapa sahaja yang dicalonkan oleh PR.