KUANTAN - Pembangunan ekonomi, perumahan mampu milik, peluang pekerjaan yang berkualiti dan pendidikan adalah empat isu utama yang menjadi tumpuan orang muda.

Calon Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Lee Chean Chung berkata, empat isu ini yang menjadi fokus beliau agar aspirasi generasi anak muda di negara ini mendapat pertimbangan.

Menurutnya, hanya anak muda memahami kehendak anak muda dan beliau terpanggil untuk bertanding MPP PKR bagi membawa suara ini ke tempat membuat keputusan tertinggi dalam PKR.

“Kalau kita mahu kerajaan dengar, kita perlu suara anak muda yang bawa suara akar umbi.

“Dalam PKR dan saya ambil keputusan untuk bertanding bersama ketua saya YB Nik Nazmi dan beliau juga bertanding MPP.

“Namun itu tidak bermakna kami hanya membawa suara anak muda, kami bawa semua sekali gus beri gambaran mengenai demokrasi di negara kita,” katanya ketika dalam rancangan Sinar Live bersama Sinar Harian, semalam.

Dalam bual bicara bertajuk Pemilihan PKR: Apa Nasib Calon Muda?, Chean Chung berpendapat, isu orang muda yang diketengahkan bagi pemilihan kepimpinan MPP PKR berbeza dengan kempen pemilihan PRU.

“Kena ambil kira isu anggota. Apabila mereka jadi anggota, mereka mempunyai pertimbangan masing-masing dan saya akan menggalakkan anggota kita, melibat diri dalam proses politik.

“Saya beri contoh kita dalam proses melantik pegawai pelawat hospital. Dahulu mereka adalah kalangan veteran namun sekarang kita anak cuba tampilkan dan beri peluang kepada anak muda,” katanya.

Adun Semambu yang juga Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan ini berpendirian bahawa suara anak muda tidak harus diabaikan dalam sistem membuat keputusan sama ada dalam kerajaan mahu pun parti.

Menurutnya, Malaysia mempunyai purata penduduk berumur lebih kurang 28 tahun, membuktikan betapa besarnya nilai dan sumbangan generasi muda di negara ini.

“Ini bagi memastikan supaya kita boleh manifestasikan dan bawa suara anak muda untuk terlibat secara lebih proaktif agar suara anak muda yang sebelum ini tidak diendahkan diketengahkan dalam pemerintahan kerajaan baharu,” katanya.

Proses pemilihan kepimpinan PKR akan bermula pada 22 September hingga 28 Oktober 2018.

Terdahulu pada 27 Julai hingga 4 Ogos telah dilaksanakan pemilihan bagi penamaan calon, membabitkan lebih 800,000 anggota parti itu di seluruh negara.

“Semua projek atau program sedang berjalan lancar, lebih rancak dan padat menjelang pemilihan parti. Proses pemilihan parti paling panjang di Malaysia iaitu kira-kira enam minggu.

“Untuk PKR satu undi, satu anggota, kita serah kepada anggota untuk pilih semua jawatan dari pusat, cabang mereka, sayap wanita dan sayap angkatan muda keadilan.

“Namun menggunakan sistem E-Undi, ia akan berjalan dengan baik,” katanya.

Proses pengundian Negeri Pahang dijadualkan pada 7 Oktober 2018, membabitkan lebih 50,000 anggota.