KUANTAN  -  Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Pahang giat membantu pekebun sayur di negeri ini dengan menyediakan kemudahan Pusat Pengumpulan Ladang (PPL) di ladang sayur yang diusahakan.

Pemangku Pengarahnya, Rosli Awang Da berkata, bantuan berkenaan diberikan untuk  meningkatkan hasil pertanian di seluruh negeri.

Menurutnya, terdapat 11 PPL di seluruh negeri yang aktif mengeluarkan hasil pertaniannya bagi memenuhi permintaan pasaran tempatan dan luar.

“Fama membangunkan PPL di kawasan ladang sayur supaya ia menjadi lokasi pertemuan antara pengeluar dan pemasar dalam masa sama meningkatkan pendapatan pengeluar melalui jualan terus ke pasaran.

“PPL yang dibangunkan juga menjadi kemudahan bagi tujuan pengumpulan hasil pertanian yang dituai selain pengeluar dapat menjalankan operasi secara komersial,” katanya pada Majlis Penyerahan Pusat Pengumpulan Hasil di Ladang Sayur Batu 13, Gambang, hari ini.

Hadir merasmikan majlis, Adun Lepar, Datuk Sohaimi Jusoh.

Rosli berkata,  kemudahan yang disediakan itu dapat membantu pekebun memasarkan sayuran keluaran mereka dalam keadaan segar, cepat dan menjimatkan kos pengangkutan.

"Fama menyediakan PPL bagi kegunaan pekebun secara bersama terutama membabitkan kawasan ladang yang luas, satu atau dua PPL dibina mengikut kesesuaian dan permintaan golongan terbabit.

"Selain menjadi pusat pengumpulan produk pertanian PPL yang dibina turut menjadi tempat pertemuan pekebun dengan pegawai agensi pertanian bagi menyalurkan maklumat," katanya.

Rosli berkata, PPL Batu 13 Jalan Gambang bernilai lebih RM18,000 itu disediakan bagi memberi kemudahan kepada tiga  pekebun yang mengusahakan ladang sayuran lebih lima hektar mengumpul hasil pertanian mereka untuk aktiviti pasaran.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) mengambil inisiatif menganjurkan program Jom Makan Ubi Kayu bagi mempromosikan ubi kayu serta produk makanan berasaskan tanaman berkenaan.
  • GUA MUSANG - Golongan belia khususnya disarankan untuk terlibat dalam bidang pertanian bagi meningkatkan hasil pengeluaran negara.
  • KUALA TERENGGANU - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) negeri Terengganu kini membuka kedai berkonsep pasar mini dinamakan My Farm Outlet (MFO) di Chendering bagi memudahkan orang ramai membeli barang basah pada harga lebih rendah berbanding di pasar biasa.
  • SHAH ALAM - Fama Selangor bakal membawa masuk sekurang-kurangnya 140 lagi produk usahawan tempatan Selangor ke pasaran Singapura bermula 15 Julai hingga 15 Ogos ini.