BENTONG - Sebanyak enam buah rumah dan sebuah kilang cili di Kampung Lebu rosak akibat dipukul ribut di sini semalam.

Ketua Polis Bentong, Superintendan Yusuf Unis berkata, kejadian yang berlaku kira-kira jam lima petang itu menyebabkan kebanyakkan rumah yang terlibat mengalami kerosakan yang teruk namun tiada pusat pemimdahan yang dibuka setakat ini.

"Kebanyakan rumah rosak pada bahagian bumbung namun kita bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

"Semua mangsa yang terlibat masih berada di rumah masing-masing dan tiada perpindahan berlaku dan setakat ini dua laporan polis telah dibuat di Balai Polis Lurah Bilut," katanya dihubungi di sini, hari ini.

Sementara itu Pegawai Pertahanan Awam Daerah Bentong, Kapten Mohd Alip Roslani berkata, seramai 11 anggota APM dan kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah melawat ke tempat kejadian sebaik menerima maklumat pada jam 5.32 petang.

Menurutnya, pihak APM telah ke lokasi kejadian di samping menyelesaikan kes pokok tumbang di kawasan yang terlibat.

"Kita turut menasihati mangsa agar membuat laporan polis. Kita juga sedang mendapatkan maklumat mangsa di rumah mangsa untuk kita menilai kerosakan harta benda yang berlaku pada mangsa," katanya.