• Emy Emy ketika menerima surat jemputan menyertai debat daripada Zulkifli.
1 /

MASJID TANAH - Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin (Emy) enggan berdebat dengan Pakatan Rakyat (PR) berikutan mahu fokus kepada kempen menjelang pilihan raya.

Beliau berkata, jemputan debat politik Agenda Masjid Tanah pada 2 Mei depan itu bukan masa sesuai sebaliknya mahu menggunakan ruang yang ada untuk aktiviti turun padang.

“Saya rasa buat masa sekarang lebih baik kita fokus kempen, debat-debat lepas ni la. Baik berjumpa pengundi daripada berjumpa pemimpin Pas.

“Sebenarnya, program seumpama ini hanya membantu kemenangan BN. Mereka tiada isu sebab tu mereka mahu berdebat,” katanya selepas program Klinik Skuasy bersama atlet skuasy kebangsaan, Mohd Azlan Iskandar di sini, semalam.

Terdahulu, Emy menerima surat jemputan menyertai debat bersama calon Pas Parlimen Masjid Tanah, Mohd Nasaie Ismail jam 9 malam di Pekan Masjid Tanah yang disampaikan Pengarah Operasi Pilihan Raya Pas Masjid Tanah, Zulkifli Mat Tan.

Dalam surat itu, Zulkifli berkata, Emy diberi masa menjawab surat yang dihantar secara serahan tangan itu pada atau sebelum Selasa  jam 4 petang.

“Debat ini dilihat sebagai platform terbaik bagi kedua-dua pihak membentangkan agenda masing-masing untuk kebaikan pengundi di kawasan Masjid Tanah.

“Debat yang merupakan sebahagian budaya politik baru yang dilaungkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ini adalah langkah proaktif Pas atas desakan anak muda melalui media baru dan alternatif,” katanya.