KUANTAN  -  Kesempitan hidup menyebabkan keluarga ini tiada pilihan selain menjadikan bangsal sempit dan uzur sebagai  tempat berteduh sejak sebulan lalu selepas gagal menjelaskan sewa rumah.

Lebih memilukan, dua anak yang masih kecil terpaksa tidur di dalam khemah yang dipasang dalam bangsal milik ibu mentua terletak di Tanah Putih Baru.

Bagi Halimahton Saadiah Abdullah, 22, dia dan suami, Abdullah Abdul Rahman, 31, tiada pilihan apabila diminta keluar dari rumah sewa kerana tidak mampu bayar sewa.

Menurutnya, dia tidak mahu menyusahkan ahli keluarga lain dan sanggup hidup di dalam bangsal tersebut.

“Keadaan bangsal sempit menyebabkan suami pasang khemah di kawasan tidak berbumbung untuk membolehkan anak berlindung daripada hujan dan panas.

“Kesempitan hidup juga menyebabkan saya terpaksa menyerahkan anak bongsu, Nur Amanda Syamila, 15 bulan, dijaga ibu mentua yang tinggal di Selangor buat sementara waktu,” katanya ketika ditemui di sini.

Halimahton bekerja sebagai pembantu kedai dengan pendapatan RM20 sehari manakala suaminya bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Katanya, dia masih beruntung apabila jiran sudi membenarkan dia sekeluarga mandi di rumah mereka memandangkan bangsal yang didiami tiada bekalan air paip.

Halimahton bersyukur apabila kesusahannya mendapat perhatian Umno Bahagian Kuantan.

Dia yang memeluk agama Islam pada 2004 itu ternyata gembira menerima bantuan daripada pelbagai pihak.

“Saya dan suami berterima kasih kepada semua pihak yang prihatin dengan kesusahan kami," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Umno Bahagian Kuantan, Wan Solihi Wan Hassan berkata, masalah dialami keluarga itu sudah dalam pengetahuan mereka sebelum ini.

Menurutnya, pihaknya sudah berbincang dengan agensi bertanggungjawab untuk membantu keluarga tersebut mendapat bantuan rumah di Kampung Pak Mahat dengan kadar segera.

“Jadi untuk keselamatan dan keselesaan, kita berharap mereka akan dapat bantuan sewajarnya selepas ini,” katanya.

Wan Solihi berkata, anak sulung pasangan tersebut, Nur Ardila Syafika, 7, juga sudah memulakan persekolahan kelmarin berikutan masalah pendaftaran sebelum ini.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUANTAN - Kehilangan kaki kiri tidak menghalang seorang kanak-kanak yang menghidap kanser tulang untuk bergerak cergas dan aktif.
  • KUANTAN - Perasaan sedih dan pilu menyelubungi empat beradik apabila mereka bakal menyambut Syawal tanpa ibu tersayang, Nor Hamisah Mat Yunus, 41, yang meninggal dunia akibat ketumbuhan dalam kepala, 11 Mei lalu.
  • KUANTAN - “Saya tahu mereka penat berjalan hari-hari, ambil masa kira-kira 45 minit nak sampai ke rumah tapi terpaksa sebab kami tak mampu nak bayar yuran bas sekolah,” luah Norizan Mohd Nor, 35.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.