KLUANG - Empangan Kahang yang dibina berdekatan Felda Kahang Timur, di sini pada Mei 2014 lalu bakal siap sepenuhnya pada bulan depan.

Pengerusi Perkhidmatan Air Negara (Span), Datuk Liang Teck Meng berkata, projek berkenaan dilaksanakan oleh Bahagian Bekalan Air, Kementerian Tenaga Hijau dan Air (KeTTHA) dengan kos RM86.28 juta.

Menurutnya, projek tersebut di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10) bertujuan untuk memenuhi keperluan sumber air bagi daerah Kluang sehingga tahun 2060.

Katanya, menerusi empangan berkenaan ianya mampu membekalkan keperluan sumber air mentah sebanyak 80 juta liter sehari (JLH).

“Menerusi lawatan saya ke Empangan Kahang ini amat berpuas hati dengan kemajuan projek ini dan dimaklumkan ianya telah hampir siap mengikut jadual iaitu 97.35 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada bulan hadapan.

“Empangan yang dibina ini mempunyai kapasiti 21 juta meter padu air dan mampu  membekalkan air mentah mencukupi untuk lebih kurang 70,000 pemegang akaun Syarikat Air Johor Holding Sdn Berhad SAJH) sehingga tahun 2035.

“Empangan Kahang ini juga mampu mengeluarkan 40 juta liter air sehari bagi menampung keperluan pengguna di kawasan Kluang dan dapat menampung bekalan air sehingga 210 hari sekiranya kawasan Kluang tidak menerima hujan dalam tempoh tersebut,” katanya dalam sidang media selepas lawatan kerjanya di daerah ini, hari ini.

Dalam lawatannya itu, Teck Meng yang juga merangkap Ahli Parlimen Simpang Renggam turut mengadakan lawatan ke tapak pelupusan Sisa Pepejal di Ladang CEP 1, Simpang Renggam dan Loji Rawatan Air (LRA) Simpang Renggam.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebuah loji rawatan air yang baharu iaitu LRA Kahang akan dibina bertujuan merawat air mentah yang disalurkan dari Empangan Kahang sebelum dibekalkan ke Bandar kluang dan sekitar.

“Loji tersebut mempunyai kapasiti reka bentu 40 JLH dan dijangka dapat memenuhi keperluan Bandar Kluang dan sekitar sehingga tahun 2035. Projek ini sedang dilaksanakan oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PPAB) dan ianya dijangka siap pada tahun 2019.

“Sementara projek tersebut siap, sistem perpaipan akan dibina bagi mengalirkan air dari Empangan Kahang terus ke Loji Rawatan Air Sembrong Timur untuk dirawat dan pembinaan tersebut mengambil masa enam bulan hingga setahun untuk disiapkan.

“Bagaimanapun, penakungan air telah bermula di Empangan Kahang pada penghujung tahun lepas,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.