KUANTAN - Cadangan menghapuskan elaun sara hidup (ESH) perlu dikaji dengan lebih teliti bagi mengelakkan masalah kepada golongan nelayan yang sebelum  ini menerima elaun berkenaan.

Tinjauan Sinar Harian mendapati ramai nelayan yang menganggap bantuan itu umpama talian hayat mereka untuk menyara keluarga setiap bulan.

Bagi Mohd Amran Ismail, 45, pemberian ESH membantunya menampung kos pembelian keperluan dapur keluarganya ketika hasil laut tidak menentu.

Menurutnya, ramai nelayan yang masih menanti sama ada ESH itu diteruskan atau tidak.

“Bagi saya, elaun itu perlu dikekalkan. Jika ada penambahbaikan mesti lebih baik daripada apa yang diperoleh sebelum ini.

“Duit yang saya terima itu sangat diperlukan kerana dapat digunakan untuk  selesaikan bil air dan elektrik selain membeli keperluan harian.

“Hasil ikan pun dah tak macam dulu. Dulu ikan banyak, nak dapatkan 10 kilogram sangat mudah tapi sekarang walaupun bukan musim tengkujuh, nak dapatkan ikan sangat susah,” katanya ketika ditemui di Pantai Beserah, semalam.

Amran berkata, sudah beberapa hari dia pulang dengan tangan kosong tapi perlu mengisi diesel bot setiap kali turun ke laut.

Abdullah Othman, 70, pula menyifatkan, pemberian elaun sara hidup oleh kerajaan selama ini membantu nelayan dan perlu diteruskan.

Dia yang sudah 57 tahun menjadi nelayan gembira kerana menerima elaun yang dapat mengurangkan bebannya.

“Memang kami harap elaun ini diteruskan sebab sangat membantu jika tak dapat turun ke laut. Ikan sekarang dah tak banyak.

“Kalau dulu, boleh buat ikan masin tapi sekarang susah nak tengok nelayan jemur ikan,” katanya.

Sementara itu, Mohammad Kamal Abdul, 57, berkata, kerajaan seharusnya tidak memansuhkan elaun sara hidup nelayan kerana mereka turut menyumbang sesuatu kepada negara dan rakyat.

”Jika tiada nelayan, sudah tentu kita tidak dapat merasai keenakan hidupan laut yang semakin popular di negara ini.

“Kita ada sumbangan untuk rakyat dan kalau ikutkan jumlah yang kerajaan perlu bayar tidak lebih RM2,000 untuk setahun bagi setiap nelayan.

“Saya harap kerajaan masih mengekalkan elaun tersebut supaya dapat kami gunakan untuk beli keperluan harian di samping membantu tampung kos penyelenggaraan bot,” katanya.   

Pada 22 Jun lalu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub berkata, pemberian ESH secara bulanan kepada nelayan tidak akan dihentikan.

Katanya, bantuan yang dikatakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan dihentikan sebelum ini adalah merujuk kepada insentif tunai secara ‘one-off’, yang diberikan kerajaan BN kepada nelayan sebelum ini.

Namun, Mahathir dalam wawancara dengan laman web perniagaan Investvine yang diterbitkan 6 Julai lalu berkata, kerajaan sekarang tidak mampu meneruskan pemberian elaun tersebut kerana wang yang diberikan telah diambil daripada kerajaan atau daripada sumber haram.