KUANTAN- Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) telah menganjurkan Program Latihan Akademik sepanjang tahun ini dalam usaha untuk mempersiap murid di tiga buah negeri di Pantai Timur menghadapi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang bermula hari ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan ECERDC, program yang masuk tahun kelapan penganjurannya itu, dilaksanakan di Pahang, Terengganu, Kelantan melibatkan 3,400 murid termasuk 830 murid Orang Asli di Sekolah Kebangsaan Tasik Cini, Pekan.

Murid Orang Asli ini diberikan kelas-kelas tuisyen serta motivasi yang diadakan oleh rakan-rakan strategik ECERDC dan elaun sebanyak RM60 melalui kad pintar MyKasih untuk membeli makanan harian di kantin sekolah dan barangan keperluan sekolah.

"Program Latihan Akademik empower ECER ini dilaksanakan khusus untuk meningkatkan pencapaian akademik pelajar berprestasi rendah daripada keluarga yang kurang berkemampuan, termasuklah pelajar-pelajar Orang Asli dari kawasan luar bandar.

“Perkara ini adalah sejajar dengan aspirasi kerajaan bagi memastikan generasi-generasi muda di ECER mempunyai prospek yang lebih cerah dalam mencapai kecemerlangan akademik serta berpeluang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi,” menurut kenyataan berkenaan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Mengikut rekod, sejak dilaksanakan pada 2010 hingga 2017, program empower ECER  itu telah memberi manfaat kepada 51,400 pelajar dengan ramai di kalangan mereka berjaya mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan.- Bernama