KUANTAN - Keputusan pelantikan Pengerusi DAP, Tan Kok Wai sebagai Duta Khas ke China tidak akan menganggu tugas Duta Besar China, Datuk Zainuddin Yahya.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, pelantikan itu melengkapkan tugas duta khususnya di kawasan tertentu kerana China sebuah negara besar.

Menurutnya, walaupun pelantikan sudah diputuskan dalam Mesyuarat Kabinet lalu namun belum dilakukan secara rasmi.

“Memang pada dasarnya kita tidak membuat lantikan politik sebagai duta namun Kok Wai melengkapkan tugas duta di kawasan yang lebih khusus.

“Bagaimanapun, kita kena tunggu surat pelantikan rasmi daripada Jabatan Perdana Menteri yang akan dikeluarkan tidak lama lagi,”katanya kepada pemberita pada Majlis Rundingan Parlimen Indera Mahkota (MPIM) di Kompleks Dagangan Indera Mahkota di sini, hari ini

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Kuantan, Assisten Komisioner Mohamad Noor Yusuf Ali dan Adun Semambu, Lee Chean Chung.

Pelantikan Kok Wai sebagai Duta Khas ke China sebelum ini dikritik pembangkang.

Mengulas mengenai MPIM berkata, Saifuddin berkata ia satu kaedah yang dapat meningkatkan kerjasama antara pelbagai pemegang taruh yang terdiri daripada badan politik, agensi kerajaan, swasta dan masyarakat sivil serta tokoh tempatan.

Menurutnya, majlis tersebut dilaksanakan bagi merancang kerjasama  dan mencari penyelesaian terhadap isu-isu berkaitan masyarakat Indera Mahkota.

 “Saya berpuas hati dengan mesyuarat ini dan kita bercadang akan adakan aktiviti yang melibatkan pelbagai kumpulan termasuk penjaja dan NGO.

“Kita juga dapat mengenal pasti perkara utama permasalahan iaitu tentang soal pembangunan ekonomi, pertambahan pekerjaan dan bagaimana hendak bangunkan pelancongan, pendidikan, masalah remaja dan kesihatan awam,” katanya.

Beliau berkata, MPIM kini mempunyai 50 ahli dan akan menerima wanita dan anak muda pada masa depan.