KUALA ROMPIN - Dua lelaki yang sedang memancing di atas Jambatan Sungai Endau, di sini, maut selepas dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda di kilometer (KM) 159.5 Jalan Kuantan - Johor Bahru sekitar jam 1.35 awal pagi tadi.

Mangsa dikenali sebagai Mohd Fadhlan Mohd Shahidi, 32, berasal dari Pekan dan Mohd Misran Mohd Daim, 44, berasal dari Mersing, Johor.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Azli Mohd Noor yang dihubungi mengesahkan kejadian.

Menurutnya, siasatan awal mendapati pemandu kenderaan pacuan empat roda yang berusia 30 tahun itu dalam keadaan mabuk sebelum terbabas melanggar kedua-kedua mangsa ketika melalui lokasi kejadian.

"Pemandu telah ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah  Rompin untuk siasatan lanjut manakala mayat kedua-kedua mangsa dihantar ke Hospital Rompin untuk proses bedah siasat," katanya.