KUANTAN - Dua lelaki tidak sempat menjual dadah yang dibawa mereka apabila berjaya diberkas pihak berkuasa dalam serbuan Ahad lalu.

Serbuan kira-kira jam 10 malam di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Genting Sempah, Bentong itu dilakukan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Kontinjen Pahang bersama pegawai dan anggota di Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Bentong.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Pahang, Superintendan Lam Thiam Huat berkata, suspek berusia 24 dan 40 tahun berasal dari Selangor itu ditahan selepas berada dalam keadaan mencurigakan dalam kereta jenis Honda City di kawasan terbabit.

Menurutnya, pegawai dan anggota polis kemudiannya mengepung kawasan letak kereta itu sebelum menahan suspek.

“Berlaku sedikit pergelutan antara suspek dan anggota sebaik pegawai dan anggota kita mendekati mereka, seorang daripadanya cuba meloloskan diri, namun berjaya ditangkap.

“Serbuan dilakukan sebaik seorang daripada suspek membuka ruang belakang bonet kereta Honda City dan mengeluarkan satu beg kain yang dipercayai mengandungi dadah,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, hari ini.

Thiam Huat berkata, pemeriksaan awal mendapati beg kain yang dirampas daripada suspek mengandungi dadah jenis heroin seberat 2.27 kilogram.

Katanya, pemeriksaan lanjut terhadap kedua suspek membawa kepada penemuan dadah jenis syabu seberat 2.90 gram.

“Nilai rampasan dadah jenis heroin dianggarkan RM68,125, manakala bagi dadah jenis syabu pula, kita anggarkan bernilai RM435. 

“Hasil siasatan, bekalan dadah  diperoleh dari ibu negara dan untuk diedarkan di sekitar Bentong, Temerloh serta kawasan Felda berdekatan.

“Kita juga menjalankan ujian air kencing terhadap kedua suspek dan hasilnya negatif,” katanya.

Beliau berkata, suspek berusia 40 tahun memiliki tiga rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan dadah dan suspek berusia 24 tahun itu pula tidak ada rekod lampau.

Kedua-dua suspek kini ditahan reman selama seminggu bermula Isnin lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12(2) akta sama.