TIOMAN - Seorang penduduk Kampung Tekek, di sini, yang bekerja membawa pelancong untuk melakukan aktiviti di laut berasa kecewa selepas menemui penyu terperangkap pada pukat hanyut dua hari berturut-turut.

Ahmad Kamizan, 33, berkata, dua kejadian masing-masing pada Jumaat dan Sabtu lalu itu pertama kali dilaluinya selain mengakui berasa kasihan melihat kedua penyu itu yang kemungkinan besar akan mati jika tidak dilepaskan.

Menurutnya, kedua penyu yang diselamatkannya itu jenis karah dan merupakan antara hidupan laut di pulau itu yang secara kebetulan boleh ditemui ketika aktiviti snorkeling atau menyelam.

"Hari pertama saya jumpa pukat terapung berhampiran Kampung Nipah dan melihat ada pergerakan, bila pergi rupanya ada seekor penyu karah yang tersangkut pada pukat itu lalu saya melepaskannya.

"Esoknya pula kebetulan saya jumpa lagi pukat hanyut ketika dalam perjalanan membawa pelancong ke Bunut, saya dapati ada penyu karah yang lebih besar tersangkut yang kelihatan penat dan kurang aktif, selepas dilepaskan ia seperti kuat semula serta boleh membawa diri," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Bagaimana pun, pada hari kedua itu Ahmad tidak dapat mengeluarkan pukat dari laut disebabkan saiznya yang besar dan tidak muat untuk dibawa kerana beliau sedang membawa pelancong.

Sementara itu, Koordinator Reef Check Malaysia (RCM) di Pulau Tioman, Alvin Chelliah yang dihubungi memuji tindakan Ahmad yang telah melepaskan kedua penyu itu sekali gus menyelamatkan hidupan laut berkenaan daripada mati akibat tersangkut pada pukat hanyut.

Menurutnya, Ahmad juga mengadu padanya mengenai pukat yang tidak dapat dikeluarkan itu dan keesokan hari beliau bersama beberapa individu telah ke lokasi untuk mengambil pukat hanyut itu sebelum dilupuskan.

"Kami telah pergi ke lokasi yang dimaklumkan tetapi mendapati pukat hanyut itu sudah tiada kemungkinan telah dihanyutkan ke laut semula.

"Tindakan Ahmad ini sangat dipuji kerana beliau memiliki rasa tanggungjawab terhadap pulau, hidupan dan alam sekitarnya, semoga ia menjadi contoh kepada penduduk serta pelancong yang berkunjung ke pulau ini," katanya.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.