KUANTAN - Penggunaan masa tidak lebih dari 20 saat semasa menurunkan anak di pagar sekolah mampu melancarkan pergerakan trafik pada waktu puncak.

Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Teruntum, Tuan Saripah Mariam S Zain berkata, kaedah tersebut merupakan salah satu daripada garis panduan yang diberikan kepada ibu bapa dalam menjayakan Program Saya Anak Hebat (SAH), Kempen Smart Q (Segera Menurun Anak Risiko Tiada).

Menurutnya, kempen ini bertujuan mendidik ibu bapa supaya lebih prihatin dan peka terhadap keselamatan murid sewaktu datang dan pulang dari sekolah serta melancarkan perjalanan trafik.

“Memandangkan pintu pagar utama sekolah terletak di jalan raya utama sibuk dan berisiko tinggi, maka murid-murid perlu dilatih supaya lebih berdikari dan segera turun dari kenderaan tanpa perlu ditemani ibu bapa ketika sampai di sekolah untuk mengelakkan kesesakan di pintu pagar utama sekolah.

“Dalam Program Smart Q, ada beberapa garis panduan yang telah diberikan kepada ibu bapa sejak Mac lalu dan ternyata kita dapat mengurangkan kesesakan sehingga 90 peratus.

“SAH ini pula adalah satu program di mana kita memberikan penerapan jati diri menjana kecemerlangan murid-murid secara holistik melalui akademik cemerlang dan aktif kokurikulum, sejajar falsafah Pendidikan Kebangsaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Penyampaian Anugerah SAH  dan Kempen Smart Q 2018, di sekolah tersebut, kelmarin.

Dalam majlis tersebut seramai 14 murid menerima Anugerah SAH dalam pelbagai bidang masing-masing, yang dipilih sebagai penerima bermula bulan Mac hingga Ogos.

Hadir sama, Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Kuantan, Mohd Razali Mustafar dan Yang Dipertua PIBG sekolah tersebut, Saiful Bakhtiar Ibrahim.