KUANTAN - Modul Pendidikan Keselamatan Jalan Raya (PKJR) akan dilaksanakan di semua sekolah rendah di seluruh negara pada 2019.

Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Rosli Isa berkata, pihaknya kini sudah bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan bagi tujuan tersebut.

Menurutnya, modul PKJR yang dimasukkan di dalam mata pelajaran Bahasa Melayu telah pun dilaksanakan di 24 buah sekolah rendah terpilih.

“Modul PKJR bagi sekolah menengah pula iaitu bermula daripada pelajar tingkatan satu hingga lima akan dilaksanakan pada 2020.

“Melalui modul PKJR ini, kita memberikan infografik, tanda-tanda isyarat dan panduan keselamatan jalan raya bagi membentuk generasi muda supaya memiliki sikap dan budaya berhemah di jalan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam satu sidang media selepas menyempurnakan Program Advokasi Khas Keselamatan Jalan Raya di Jalan Kuantan-Sungai Lembing di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh dan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri, Datuk Mark Ujin.

Beliau berkata, bermula Januari tahun depan, JKJR akan memberikan latihan kepada guru-guru mata pelajaran Bahasa Melayu di seluruh negara bagi membolehkan modul PKJR diajar sekurang-kurang dua waktu dalam seminggu.

“Ini salah satu cara untuk kita mendidik dan memberi pengetahuan kepada pelajar cara pemanduan berhemah dengan mengikut peraturan jalan raya diperingkat sekolah,” katanya.

Dalam pada itu, Rosli berkata kadar kematian akibat kemalangan jalan raya di negara ini membimbangkan apabila angka dicatatkan adalah kira-kira 7,200 setahun.

Jelasnya, itu jumlah kadar kematian bagi setiap tahun akibat kemalangan raya di sebuah negara aman melebihi negara yang berperang seperti Palestin.

“Di Palestin, kematian 350 setahun ini adalah disebabkan oleh peperangan tetapi kita kematian 7,200 setahun disebabkan kemalangan jalan raya.

“Dalam kajian yang dibuat oleh sebuah universiti, dalam setahun dianggarkan 10,000 orang yang terlibat dalam kemalangan jalan raya berada dalam keadaan kecacatan kekal dan jumlah ini menggerunkan kita,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • IPOH - Penutupan Jambatan Sultan Yusuf terpaksa dilanjutkan berikutan penemuan kecacatan serius yang boleh menjejaskan struktur dan keselamatan jambatan berkenaan.
  • TELUK INTAN - Keputusan tarikh pembukaan semula Jambatan Sultan Yusof akan diketahui sekurang-kurangnya esok selepas pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) melakukan lawatan kerja.
  • KOTA BHARU - Pusat Kesihatan Kok Lanas akan dibina di kawasan bandar berkenaan bagi menampung pertambahan penduduk di samping meningkatkan perkhidmatan kesihatan dalam usaha menawarkan perkhidmatan dan rawatan dengan lebih baik dan selesa kepada pelanggan.
  • TELUK INTAN - Tempoh penutupan Jambatan Sultan Yusof, Batu 5, terpaksa dilanjutkan daripada jam 5 pagi 13 Ogos kepada jam 5 pagi 28 Ogos ekoran kerja membaiki dan menyelenggarakan jambatan tersebut memakan masa.