KUANTAN - Cabutan bertuah antara habuan yang diberikan kepada murid yang kerap mengunjungi pusat sumber sekolah.

Itu kaedah yang digunakan oleh Sekolah kebangsaan (SK) Sungai Isap Murni di sini, dalam usaha membudayakan amalan membaca dalam kalangan warga sekolah tersebut.

Guru Penyelaras Program Nadi Ilmu Amalan Pembaca (Nilam) sekolah tersebut, Nur Hasyyati Arifin berkata, itu inisiatif yang digunakan pihak sekolah bagi memastikan murid mengunjungi pusat sumber dan membaca.

"Kita hendak mereka semua berlumba- lumba untuk membaca dan disebabkan usaha yang ditunjukkan itu, sekolah akan memberikan hadiah kepada mereka.

"Menerusi cara itu kita lihat peningkatan murid lebih ramai ke pusat sumber sekolah berbanding pada tahun lalu," katanya ketika ditemui selepas berakhirnya Majlis Pelancaran Nilam di Dewan Ibnu Bhatuta di sekolah itu di sini, hari ini.

Majlis pelancaran program itu telah disempurnakan Pegawai Perpustakaan negeri, Mohd Aseri Abd Malik.

Nur Hasyyati memaklumkan matlamat utama program ini ialah untuk membentuk murid menjadi seorang pembaca yang berkualiti.

Katanya,program ini menggalakkan pembacaan secara berterusan sepanjang tahun.

"Di bawah program ini, murid perlu mencatatkan maklumat pengarang, judul, bilangan muka surat, penerbit dan sinopsis atau peta minda tentang buku yang dibaca ke dalam buku rekod khas. 

"Mereka juga boleh adaptasi apa yang mereka baca dalam bentuk lakonan atau sebagainya. Mereka juga akan mendapat ganjaran merangkumi pemberian hadiah, sijil pengiktirafan dan mencatatkan jumlah buku yang dibaca pada buku rekod kemajuan atau pada sijil berhenti sekolah," katanya.

Selain itu, katanya, program Nilam ini juga secara tidak langsung dapat mewujudkan persekitaran yang kondusif dan sudut bacaan yang sesuai untuk pembacaan di kawasan sekolah.

Di samping itu, ia dapat menampilkan murid yang mengamalkan ciri-ciri pembaca berkualiti. 

"Ini juga cara untuk pihak sekolah dapat mengenal pasti tokoh murid yang banyak membaca, bertrampilan serta mempunyai sifat kepimpinan," katanya.

 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SEREMBAN - Tabiat membaca tajuk sesuatu berita atau artikel semata-mata tanpa mengetahui isi kandungan yang sebenar lantas melontarkan komentar khususnya melibatkan bahan bacaan dalam laman media sosial, perlu dihentikan.
  • KOTA BHARU - Sebuah buku bertajuk Peranakan Cina Kelantan: Sintesis Cina Tanah Besar dan Melayu Tanah Melayu yang mendokumentasikan warisan kaum peranakan Cina negeri ini telah dilancarkan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, di sini semalam.
  • SEREMBAN - Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS) akan menerbitkan buku kisah perjuangan tokoh anak Negeri Sembilan, Sarjan Hassan sebagai pengiktirafan jasa dan pengorbanannya sebagai pejuang negara menentang komunis.
  • JOHOR BAHRU - Rebut peluang untuk memiliki karya dari Kumpulan Media Karangkraf yang dijual serendah RM3 bersempena #minikarnivalkarangkraf2016 di Plaza Angsana bermula hari ini.