MUADZAM SHAH - Sebuah entri Facebook yang mendakwa nyaris disamun kumpulan bermotosikal di Jalan Bahau - Muadzam Shah berhampiran Kampung Bukit Serok mengundang kebimbangan dalam kalangan masyarakat setempat dan pengguna jalan raya yang melalui jalan itu.

Menurut entri bertarikh 7 Februari lalu yang tular itu, kejadian berlaku pada waktu malam melibatkan dua atau tiga buah motosikal yang bertindak membaling batu memecahkan cermin kereta manakala sebahagian lagi menunggu di hadapan menanti kenderaan dihentikan sebelum rompakan boleh dilakukan.

Walaupun cermin sudah pecah dan pandangan hadapan terganggu, namun mereka tidak cemas sebaliknya meneruskan perjalanan.

Kumpulan motosikal itu mengekori kereta berkenaan namun dihalang lori yang tiba-tiba datang dari arah belakang dan mereka meneruskan perjalanan sebelum menghubungi waris meminta bantuan.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superitendan Azli Mohd Noor yang dihubungi mengakui meminta pegawainya menjalankan siasatan dan telah dapat mengesan pemilik akaun Facebook berkenaan.

Menurutnya, hasil siasatan awal mangsa tidak membuat laporan polis berkaitan kejadian yang dialami seperti kisah yang dikongsi di akaun Facebooknya.

“Selepas dihubungi, beliau telah membuat laporan polis bagaimana pun tiada tindakan lanjut diambil.

“Ia berikutan hasil daripada temu bual yang telah dibuat, pengadu hanya mengagak tentang kisah kejadian yang dikongsi di Facebooknya,” katanya.