KUANTAN - Adun Semambu, Lee Chean Chung membuat laporan polis berhubung penularan berita palsu berkaitan beliau dan bekas Adun Bandar, Terengganu Azan Ismail, semalam.

Artikel bertajuk ‘Pemimpin PKR bertumbuk hina Melayu Bodoh, sakai masuk hutan’ telah disiarkan dalam dua portal dua hari lalu.

Chean Chung menyifatkan artikel yang menunjukkan dua individu bertumbuk di sebuah rertoran di Beserah itu cuba melagakan dirinya dengan Pengerusi PKR Terengganu itu.

“Ini adalah berita tak benar..artikel ini memberikan gambaran yang sangat teruk dan keadaan sedemikian boleh mencetuskan sensitiviti  perkauman.

“Saya nak tegaskan di sini.. saya dan Azan tak pernah buat begitu (bertumbuk) dan kami adalah kawan baik. Jadi semua dakwaan itu adalah tidak  benar.

“Selain itu, lokasi yang dikatakan insiden terbabit berlaku iaitu di Restoran Maya, Jalan Beserah, Kuantan adalah sesuatu tidak benar.. malah restoran yang dimaksudkan itu juga tidak wujud,” katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, hari ini.

Melalui portal sama, artikel itu turut menyebut Azan menegur Chean Chung berhubung isu menghina sidang Dun pada 19 November 2013 dengan menyatakan bajet tambahan yang dibentangkan oleh menteri besar adalah bajet palsu.

Portal berkenaan juga menyebut, Azan berkata perbuatan Chean Chung itu hanya akan memburukkan imej PKR sekali gus menunjukkan betapa bodoh dan gelojohnya mereka yang dipilih menjadi pemimpin PKR.