KUANTAN - Ibu sarat mengandung tujuh bulan cemas apabila rumahnya di Kampung Bukit Kuin, dilanda ribut petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, Hasnita Abdul Rahim, 34, bersama dua anak berada di rumah.

Menurutnya, dia bersama dua anak ketika kejadian iaitu anak kedua, Nur Najihah, 14, dan anak keenam, Nur Naziha, 3.

“Saya bersama anak-anak berada di ruang tamu sebelum terdengar angin kuat menerbangkan atap zink bilik.

“Saya cemas dan cepat-cepat mendapatkan anak keenam untuk keluar dari rumah,” katanya ketika ditemui pada lawatan Adun Sungai Lembing, Datuk Md Shohaimi Mohamed Shah, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bukit Kuin, Alias Hamzah.

Hasnita berkata, suaminya Mohd Areyadi Mohd Aini, 42, pula tiada di rumah sewaktu kejadian menyebabkan dia kelam kabut.

Katanya, dengan keadaannya dirinya yang sarat, dia bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku.

“Ini kali pertama kejadian ribut melanda rumah yang didiami sejak 2010.

“Semua barang dalam bilik basah selepas atap diterbangkan angin,” katanya.

Bagi warga emas, Zaiton Sulung, 72, dia bersama anak keenamnya Anida Ahmad, 47, ketika kejadian ribut melanda.

Katanya, dia tidak menyangka hujan lebat petang kelmarin menyebabkan atap rumahnya pecah.

“Bagaimana pun, kerosakan sudah dibaiki semalam kerana bimbang jika hujan lagi,” katanya.

Sementara itu, Md Shohaimi berkata, sebanyak enam rumah yang terjejas, kebanyakannya mengalami kerosakan bumbung ekoran ribut petang kelmarin.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pihak bertanggungjawab sudah mengambil maklumat mangsa untuk bantuan seterusnya.

“Saya harap mangsa ribut bersabar dengan musibah yang menimpa,” katanya.

Pada lawatan itu, Md Shohaimi menyampaikan bantuan segera JKM kepada mangsa ribut.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.