KUANTAN – “Saya masih buntu dan tak boleh nak fikir perancangan untuk keluarga apatah lagi Ramadan menjelang tiba," demikian rintihan ibu tunggal, Masfozah Masbah, 42, yang baru sahaja kehilangan suami, Shahiran Ismail,  47, tercinta 10 hari lalu akibat kanser tulang dan komplikasi kencing manis.

Katanya, tanggungjawabnya sekarang semakin mencabar untuk ditempuhi bersama sembilan anak hasil perkahwinannya dengan Allahyarham suaminya itu.

“Semenjak pemergian suami, saya masih lagi tak ada kerja tetap dan sedang cari pendapatan tambahan nak sara anak berumur dua sampai 20 tahun.

“Enam anak masih bersekolah dan saya tak benarkan mereka berhenti. Selagi mampu saya akan sediakan keperluan dan fokuskan pada pelajaran sampai mereka ambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) nanti," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Perumahan Berjaya Permai, Sungai Soi, di sini, semalam.

Masfozah berkata, kini dia dibantu dua anaknya yang sudah tamat belajar mencari pendapatan untuk menampung keluarga.

“Sepanjang suami sakit dulu, rakan-rakan dan bekas majikan selalu datang bagi bantuan. Sekarang dia dah tak ada, jadi kami kena buat sesuatu.

“Sebelum ini, pernah juga kami terputus bekalan makanan bila keadaan arwah makin kronik. Masa tu saya hanya mampu masak nasi goreng sepanjang hari untuk anak-anak,” katanya.

Menurut Masfozah, dalam waktu terdekat ini dia bercadang untuk berniaga secara kecil-kecilan.

“Apa yang boleh dilakukan sekarang adalah meniaga kuih-muih untuk sara anak-anak, walaupun kecil tapi tetap memerlukan modal.

“Saya tak mahu hanya bergantung kepada bantuan semata-mata. Saya akan usaha," katanya.

Kepada anda yang ingin menghulurkan bantuan kepada keluarga ini, boleh berbuat demikian dengan menyalurkan sumbangan melalui akaun Maybank milik Masfozah 101011962414 atau hubungi di talian 019-9899696.

 

 


 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KLUANG - Seorang ibu tunggal tiga anak bergantung harap kepada bantuan Perkeso dan JKM untuk meneruskan kehidupannya.
  • TUMPAT - Tiada apa yang menggembirakan seorang isteri apabila suami yang terlantar separuh sedar selama tiga tahun sudah mampu bercakap sepatah.
  • HULU TERENGGANU - Hanya ingin memastikan segala hajat pasangan hidupnya tercapai, seorang wanita bergelar isteri, di sini, bukan sekadar merelakan dirinya dimadukan tetapi juga sanggup merisik, meminang serta menyaksikan sendiri akad nikah suaminya dengan isteri baharu.
  • SUNGAI BULOH - Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Itu situasi sebuah keluarga yang kesempitan hidup selepas suami yang menjadi tempat bergantung tiba-tiba tidak mampu bekerja lagi.
  • YAN - Seorang isteri kini terpaksa membanting tulang empat keratnya bagi mencari wang untuk menampung keperluan diri dan keluarga selepas suaminya tidak lagi mampu bekerja.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.