ROMPIN - Keputusan AJK Pemuda Umno Bahagian Rompin, Mohd Herman Awang bertanding jawatan Ketua Pemuda bahagian dan Exco Pemuda Pusat bukti beliau tidak mahu meninggalkan perjuangan tatkala parti itu sedang berdepan dengan waktu kejatuhan.

Menurut beliau, keputusan berkenaan juga diambil bagi bersama-sama barisan kepimpinan parti di peringkat bahagian dan pusat membantu memulihkan kembali Umno selepas kekalahan pada PRU14 lalu.

“Ini buktinya saya tidak pernah meninggalkan perjuangan Umno biarpun parti sekarang dalam keadaan ‘sakit’.

“Saya mahu beri sumbangan mengikut kemampuan membantu memulihkan kembali Umno dan bukan bertanding sebab tamakkan kuasa atau jawatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Herman berkata, amalan demokrasi yang subur sejak sekian lama dalam Umno membuka peluang kepada mana-mana ahli untuk menawarkan diri berkhidmat kepada parti jika individu itu berfikiran mereka layak.

Jelas beliau, masa sekarang ini tidak timbul soal mengejar jawatan atau kuasa dalam parti kerana Umno/BN bukan lagi parti memerintah.

“Apa yang penting sekarang adalah bangkitkan semula keyakinan akar umbi dan rakyat terhadap Umno.

“Dan saya menawarkan diri bertanding dua jawatan itu perlu dilihat sebagai salah satu usaha saya mahu bersama melakukan transformasi dalam Umno.

“Kita kena sedar sekarang bukan masanya untuk bercerita pasal kuasa dan kedudukan kerana kita bukan lagi kerajaan,” katanya.

Oleh itu menurut Mohd Herman lagi, semua ahli Umno dan perwakilan perlu membuat keputusan bijak memilih barisan kepimpinan baharu sama ada dalam sayap pergerakan mahupun peringkat tertinggi parti.

Ini kerana jelasnya, masa depan Umno terletak kepada kepimpinan baharu yang bakal mencorakkan pembaharuan dan membangkitkan kepada parti itu seperti sebelum ini.