KUALA ROMPIN - Tidak semua orang mempunyai peluang menyempurnakan pengislaman saudara baharu namun ia boleh menjadi pengalaman berharga mana-mana individu yang pernah melaluinya.

Pengalaman itu turut dialami Pegawai Daerah Rompin, Mohd Zulkifli Hashim, yang menganggap peluang diberikan kepadanya satu penghormatan besar daripada Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Daerah Rompin.

“Ini pertama kali saya hadir di majlis sebegini dan pada saya satu penghormatan besar apabila diberi peluang mengislamkan saudara baharu, alhamdulillah, saya bersyukur semua berjalan lancar.

“Selain perasaan teruja dan menjadi kenangan manis, saya berharap program lafaz syahadah dapat dianjurkan lebih banyak selepas ini,” katanya selepas ditemui selepas majlis berkenaan di Masjid Tengku Mahkota Abdullah, di sini, kelmarin.

Mohd Zulkifli berkata, kebanyakan masyarakat bukan Islam berminat untuk memasuki Islam namun mereka dipercayai tiada bimbingan awal sekali gus menyukarkan proses itu.

"Saya berterima kasih kepada Perkim Rompin atas penganjuran majlis ini selain menjemput dan memberi peluang kepada saya untuk bersama dalam majlis yang sangat bermakna itu,” katanya.

Seorang pendakwah bebas, Mohd Farid Mohd Ramly yang ditemui berkata, saudara baharu seorang wanita berketurunan Orang Asli dari Kampung Bukit Serdang, di sini akan ditempatkan di kelas dakwah di lokasi yang sesuai untuknya belajar asas ilmu agama Islam.

“Kelas ini ada di beberapa tempat yang terpilih dan ada guru yang mengajar di situ, saudara baharu juga boleh mendalami ilmu agama termasuk perkara fardu ain,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - Majlis Agama Islam Selangor (Mais) telah menguruskan jenazah Hassan Abdullah atau Lin @ Lim Ah San menurut cara Islam sehingga selesai.
  • LABIS - Akidah saudara baharu dalam kalangan masyarakat Orang Asli di daerah ini sentiasa dipantau dan dibimbing oleh pegawai dari Pejabat Kadi Daerah Segamat secara berterusan.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.