TIOMAN – Satu lagi jaring pukat hanyut ditemui tersangkut pada terumbu karang berhampiran Pantai Bunut yang terletak antara Kampung Tekek dan Paya, di sini, kelmarin.

Atas rasa tanggungjawab menyelamatkan terumbu karang berkenaan, snorkel guide yang menemui jaring tersebut melaporkan penemuan itu kepada badan bukan kerajaan (NGO) Reef Check Malaysia (RCM) supaya tindakan boleh diambil.

Koordinator RCM di Pulau Tioman, Alvin Chelliah, berkata, maklumat awal mengatakan jaring pukat itu tidak besar dan pihaknya ke lokasi pagi semalam untuk mengeluarkannya.

Menurutnya, jaring pukat yang baru ditemui itu merupakan yang keempat bagi tahun ini. Manakala, tiga lagi ditemui pada Februari lalu telah berjaya dikeluarkan dengan penglibatan kedai selam dan RCM.

“Pagi tadi saya bersama beberapa sukarelawan telah ke lokasi dilaporkan untuk mengeluarkan jaring pukat itu. Tapi ia agak mengejutkan kerana saiznya lebih besar dan memerlukan lebih ramai sukarelawan.

“Jika dilihat dari permukaan, memang ia nampak tidak besar... tetapi apabila kami menyelam, rupanya bahagian dalam air, bukan kecil tapi besar. Saya anggarkan beratnya sekitar 350 kilogram (kg),” katanya semalam.

Alvin berkata, setelah gagal mengeluarkan jaring pukat itu, beliau terpaksa pulang untuk meminta bantuan daripada kedai selam berhampiran dan Persatuan Penyelam Tioman.

“Tengahari esok (hari ini) ketika air surut kita akan ke sana semula dengan tenaga yang lebih ramai, kita akan cuba memotong jaring pukat itu terlebih dahulu sebelum mengeluarkannya dari air,” katanya.

Berdasarkan rekod dicatat RCM, sebanyak 20 pukat telah ditemui dan berjaya dikeluarkan dari 2014 hingga 2016 dengan berat sejumlah tidak kurang 4,000 kg manakala bagi tahun lalu sebanyak tujuh jaring pukat dikeluarkan dengan berat 1500kg.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM) Pahang, Mohd Fazli Long, yang dihubungi mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terlibat yang menyokong usaha memelihara dan memulihara terumbu karang.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA TERENGGANU - Seekor buaya tembaga sepanjang kira-kira 1.5 meter ditemui terperangkap dalam jaring penduduk yang memukat ikan di Sungai Beladau Selat di sini, malam kelmarin.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.