KUANTAN - Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Pahang berhasrat untuk membuka peluang kepada murid berkeperluan khas terutama dalam kalangan kanak-kanak autisme bagi mengikuti pendidikan awal di 198 Pasti di negeri ini.

Demi mencapai matlamat ini, Pasti Pahang kini sudah mula membuat kajian dan pembangunan (R&D) untuk mencari kaedah terbaik dalam merangka kokurikulum yang bersesuaian dan berkesan untuk golongan itu.

Pengarah Pasti Pahang, Danial Abdul Aziz berkata, pihaknya sudah ke arah itu dan sekiranya berjaya dilaksanakan, Pasti Pahang menjadi yang pertama melaksanakannya di negara ini.

Menurutnya, langkah ke hadapan itu dipertimbangkan susulan permintaan dalam kalangan ibu bapa kanak-kanak berkeperluan khas (autisme) yang diterima setiap tahun.

“Setakat ini kita belum melaksanakan secara menyeluruh kecuali hanya ada beberapa Pasti di Pahang yang menerima murid berkeperluan khas ini.

“Kita sebenarnya belum bersedia mengambil kira kekurangan kemahiran dalam kalangan guru untuk mengajar kanak-kanak istimewa ini,” katanya ketika ditemui pada Sambutan Hari Guru Pasti Peringkat Negeri Pahang 2018 di Bukit Gambang Resort City di sini, semalam.

Majlis dirasmikan, Timbalan Ketua Pemuda Pas, Ir Khairil Nizam Khiruddin dan turut dihadiri, Adun Damak, Zuridan Md Dauddan, Ketua Pemuda Pas Pahang, Hazmi Dibok.

Bagaimanapun menurutnya, prestasi beberapa murid autisme yang mengikuti pendidikan di Pasti setakat ini, perkembangannya cukup positif dan itu antara faktor ramai ibu bapa berminat untuk menghantar anak-anak mereka.

“Setidaknya-tidaknya Pasti perlu menyediakan guru yang berkelayakan dahulu untuk menguruskan murid berkeperluan khas dan tentunya dalam kalangan mereka yang mempunyai tahap kesabaran cukup tinggi.

“Insya-ALLAH kita mampu laksanakan usaha ini,” katanya.

Sementara itu katanya, peningkatan bilangan murid yang dihantar ke Pasti meningkat mendadak kebelakangan ini dengan anggaran peningkatan antara 10 hingga 15 peratus setahun.

Katanya, bilangan murid Pasti di Pahang kini mencecah hampir 9,000 daripada 120,000 seluruh negara justeru sejajar dengan perkembangan itu, Pasti Pahang turut melaksanakan penambahbaikan dengan menaik taraf 198 Pasti sedia ada kepada Pra Tahfiz tahun ini.

“Melalui perlaksanaan Pra tahfiz yang menekankan  kepada pengajian al-Quran ini, ia sebagai persediaan asas sebagai pelapis Tahfiz Profesional dan Tahfiz Sains yang mendapat permintaan tinggi dalam pasaran pendidikan hari ini,” katanya.

Beliau berkata, Pasti berdepan banyak cabaran kerana tidak mempunyai dana tetap sebaliknya bergantung kepada sumbangan orang ramai.

“Alhamdulillah, walaupun di bawah parti Pas, penyumbang setakat ini tidak terikat sebaliknya ada penyumbang daripada bukan Islam.

“Misalnya ada satu keluarga Cina di Sri Jaya, Maran menghantar anak mereka ke Pasti dan ini sudah tentu satu cabaran kerana terpaksa wujudkan kokurikulum khas untuk mereka dengan mengecualikan pendidikan agama tetapi lebih kepada akhlak, tulisan jawi dan subjek akademik,” katanya.

Menyentuh berhubung sambutan Hari Guru pasti kelmarin, Danial berkata, ia sebagai simbolik bagi meraikan para guru bagi menghargai jasa dan pengorbanan mereka.

“Pada majlis itu, empat anugerah disampaikan termasuk Anugerah Tokoh Guru, Tokoh Guru Kawasan, Anugerah Tajaan Umrah Pasti Pahang dan Anugerah Guru Paling Lama Berkhidmat,” katanya.