RAUB - Kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan lain kepada golongan belia, wanita dan ibu tunggal yang tidak mendapat Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bagi meringankan beban mereka.

Exco Koperasi, Usahawan dan Kepenggunaan, Datuk Seri Shahiruddin Ab Moin berkata, berdasarkan aduan dan laporan yang diterimanya, masih ramai lagi rakyat yang layak namun tidak mendapat bantuan tersebut.

Bagaimanapun, beliau meminta agar penghulu, jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK), ketua cawangan Umno dan pemimpin setempat turun padang bagi mendaftar mereka yang terbabit.

“Di daerah Raub ini sahaja masih terdapat ramai yang layak tidak mendapat bantuan tersebut dan ada yang mengisi borang pun tiada jawapan.

“Kita harap mereka ini dapat didaftar segera supaya dapat menerimanya sepertimana yang lain. Walaupun bantuan BR1M itu bukan jumlah yang banyak, tetapi sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di sini, semalam.

Dalam pada itu,  beliau yang merupakan Adun Dong berkata, kerajaan negeri komited dan prihatin membantu mereka untuk mendapat bantuan BR1M.

“Mereka inilah yang perlu diberikan perhatian kerana dengan bantuan tunai ini mereka boleh berbelanja dan meringankan bebanan.

“Kita jangan biar dan menyisihkan mereka. Kita kena  pastikan mereka mendapat bantuan,” katanya.

Jelasnya, bantuan BR1M bukan untuk memancing undi ataupun rasuah pilihan raya, tetapi sebagai membantu mengatasi bebanan mereka yang kurang pendapatan.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.