KUALA ROMPIN - [VIDEO] Operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan untuk hari ketiga, hari ini dalam jarak sekitar 4.5 batu nautika dari kawasan bot karam ditemui iaitu berhampiran Pulau Lalang, Endau, Johor.

Sebanyak dua aset terlibat dalam operasi berkenaan iaitu Bot Pengawal 43 (Maritim Malaysia) dan Bot PSC 31 (Polis Marin).

Timbalan Pengarah Maritim Wilayah Timur (Operasi), Kapten Maritim V Pannir Selvan Veloo, berkata, seramai empat orang penyelam dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Mawilla 1 Tanjung Gelang turut membantu.

"Bot telah diapungkan oleh nelayan, bahagian rumah bot (wheel house) didapati telah pecah dan hanya bahagian bawah bot sahaja yang tinggal.

Bot yang karam berjaya diapungkan oleh nelayan terlibat menggunakan dua buah bot lain.

"Hasil pemeriksaan mendapati mangsa tiada di dalamnya. Bot yang telah berjaya ditimbulkan ditarik ke Endau dan dijangka masuk jeti Endau malam ini," katanya dalam satu kenyataan kepada media, hari ini.

Portal Sinar Online semalam melaporkan seorang awak-awak tempatan hilang manakala lima lagi krew bot termasuk seorang tekong selamat selepas bot nelayan yang mereka naiki karam, sekitar jam 8 malam, Jumaat lalu.

Bot nelayan tempatan kelas B itu dilaporkan telah tenggelam di perairan Tanjung Gemok, di sini, lebih kurang 4 batu nautika dari Pulau Layak manakala mangsa yang hilang dikenali sebagai Che Mohd Arif Che Hussin, 39, berasal dari Wakaf Bharu, Kelantan.