KUANTAN - Lebih 10,000 pengunjung dijangka membanjiri bandar Kuantan sempena acara perarakan bot berhias yang akan diadakan di Taman Esplanade, dekat sini Sabtu ini.
   
Setiausaha Kerajaan Pahang Datuk Seri Muhammad Safian Ismail berkata selain acara berkenaan, dua acara lain turut diadakan iaitu perasmian Mercu Tanda Bandar Kuantan dan persembahan bunga api sempena memuliakan sambutan 40 tahun pemerintahan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.
   
"Acara itu akan bermula selepas keberangkatan tiba Sultan Pahang pada 8.30 malam yang akan turut dihadiri Sultanah Pahang Sultanah Hajah Kalsom, Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah dan Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.
   
"Bagi pembukaan acara, Sultan Pahang akan merasmikan mercu tanda Bandar Kuantan diikuti perasmian bot berhias dan acara kemuncak pertunjukan bunga api kira-kira 30 minit," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat program berkenaan di sini, hari ini.
   
Selain itu katanya, acara akan turut dimeriahkan dengan persembahan artis tempatan.

Katanya, Mercu Tanda Bandar Kuantan yang dinamakan sebagai "Junjung Duli" itu telah dibina dengan menggunakan bahan keluli tahan karat yang direka bentuk menjadi gading yang unik.
   
Katanya, pelaksanaan projek itu diterajui Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur yang mula dibina Jun lepas membabitkan perbelanjaan RM500,000.
   
Bagi perarakan bot berhias beliau berkata, sebanyak 31 penyertaan bot berhias telah diterima dan akan dipamerkan selama sehari selepas malam pertunjukan itu di sepanjang Sungai Kuantan di hadapan Taman Esplanade.
   
Sementara itu, katanya, beberapa jalan utama akan ditutup mulai 7 malam, sehingga acara berakhir bagi melancarkan program.
   
Katanya, jalan yang ditutup termasuk Jambatan Tanjung Lumpur (dari arah Tg Lumpur menghala ke Bandar Kuantan) dan Jalan Besar (bermula dari lampu isyarat Esplanade hingga lampu isyarat Tanah Putih). - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KOTA BHARU - Nelayan bot kecil dan sederhana di Kuala Besar, di sini, kini menarik nafas lega apabila boleh mendarat di jeti berkenaan setelah 14 tahun mengalami masalah muara cetek.
  • LANGKAWI - Seorang lelaki mati selepas botnya terlanggar batu dan karam berdekatan Teluk Burau di sini tengah hari tadi.
  • MERSING - Sebuah bot pukat tunda Kelas B ditahan ketika sedang menangkap ikan di kawasan taman laut dekat perairan Pulau Taman Laut Mensirip, semalam.
  • KUALA ROMPIN - Sebuah bot pukat tunda telah ditahan sepasukan anggota penguatkuasa Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM) Pahang sekitar jam 6.30 petang, kelmarin selepas didapati melakukan aktiviti itu di kawasan larangan perikanan.
  • KOTA BHARU - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan menerima dua bot amfibia bagi memudahkan proses menyalurkan bantuan ketika bencana terutama banjir besar.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.