BENTONG - BN Pahang yakin mereka akan mendapat mandat daripada pengundi dengan memenangi PRU14 hari ini kerana telah memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.

Pengerusinya, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata,  pemimpin atasan sehingga ahli biasa BN sememangnya diketahui sering memberikan khidmat terbaik kepada rakyat sejak sekian lama dan tidak sombong.

Berikutan itu, katanya, beliau yakin kebolehan calon-calon BN bukan hanya di Parlimen Bentong, malah semua Parlimen di negeri ini bekerja kuat dan keras demi memenangi PRU pada kali ini.

“Tiada sebab untuk rakyat tidak menyokong BN. Mungkin ada perkara yang tidak puas hati berbangkit, namun saya yakin ia bakal diselesaikan,” katanya kepada media selepas merasmikan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) Agrobank di Felda Chemomoi, di sini, hari ini.

Adnan yang akan mempertahankan kerusi Dun Pelangai buat penggal kelapan juga berharap pengundi menggunakan kebijaksanaan dalam membuat pilihan esok.

“Rakyat harus menggunakan akal fikiran dan mengenepikan cerita negatif untuk mara ke depan,” katanya.