RAUB - Suasana aman harmoni dengan semangat muhibah mewarnai pekarangan Pejabat Daerah Raub sepanjang proses penamaan calon berlangsung membuktikan kerukunan boleh dikekalkan sekiranya amalan berkempen dilaksanakan secara bersih.

Calon Barisan Nasional (BN) Dun Dong, Datuk Shahiruddin Ab Moin berkata, pimpinan BN mahukan strategi pelaksanaan kempen yang bersih tanpa sebarang provokasi dan berharap ia dapat dilaksanakan dengan baik oleh semua ahli BN khasnya jentera pilihan raya.

Menurutnya, pilihan raya umum (PRU) kali ini dilihat lebih kepada suasana muhibah memandangkan pengundi tetap memilih walau apa juga keadaan berlangsung sekali pun.

“Kita buat kerja (berkempen) seikhlas hati dengan kerjasama dan gembleng tenaga semua jentera PRU agar pengundi dapat melihat kesungguhan mempertahankan perjuangan kerajaan (BN) hari ini.

“Pada masa sama elakkan daripada melakukan provokasi atau berkempen dengan cara tidak baik kerana ia hanya akan membiaskan imej negatif terhadap parti,” katanya.

Proses penamaan calon di Parlimen Raub berjalan lancar dengan satu lawan satu bagi semua kawasan antara BN dan Pakatan Rakyat (PR).

Kerusi Parlimen Raub (P080), wakil BN, Datuk Hoh Khai Mun akan bertemu dengan Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz yang mewakili DAP.

Calon Dun Batu Talam (N06), Datuk Abdul Aziz Mat Kiram daripada BN pula nekad mempertahankan kerusinya walaupun dicabar wakil PKR, Khairul Hakimin Mohd Ali.

Sementara itu, calon BN Dun Tras (N07), Wing Lay Hiang mencabar penyandang DAP, Choong Siew Oon.

Manakala Dun Dong (N08) dijangka panas antara usaha calon Pas, Tengku Shah Amir Tengku Perang dengan pendirian Shahiruddin yang mewakili BN untuk mempertahankan kerusi sejak empat penggal lalu.

Siew Oon berkata, PR juga sepakat memberikan sepenuh kerjasama kepada urus setia keselamatan khasnya polis Raub agar tidak berlaku sebarang kekecohan sepanjang tempoh berkempen.

Katanya, matlamat itu mudah dicapai sekiranya semua pimpinan parti politik sama ada PR atau pun BN bersama-sama berusaha untuk berkempen dalam suasana bersih.

“Setakat dilihat sepanjang proses penamaan calon ini, kita gembira kerana ia berlangsung dengan lancar dan aman sekali.

“Tidak mustahil semasa proses membuang undi nanti perkara seperti ini berterusan dan itulah yang paling diharapkan sebagai tanda pencapaian maksud demokrasi,” katanya.