KERATONG - Masyarakat terutama penduduk Felda diseru supaya tidak mengabaikan atau menyisihkan bekas pesalah dadah yang masih tinggal di dalam atau di luar tanah rancangan sebaliknya mencari jalan bagaimana membimbing golongan itu supaya tidak mengulangi kesilapan lalu.

Pengerusi Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) Selancar 2, Mohd Mustafa Kamal Ismailludin, berkata, tekanan daripada masyarakat setempat juga dipercayai antara punca mereka kembali kepada gejala penyalahgunaan dadah.

Menurutnya, beri golongan itu peluang dan ruang bukan memandang serong  kesalahan lampau kerana itu tidak membantu mereka untuk memulihkan diri daripada ketagihan dadah.

“Mungkin mereka yang kebanyakannya golongan muda ni dah buat silap...tapi kita tak boleh pandang serong sebaliknya bantu mereka untuk lebih kuat kembali ke pangkal jalan.

“Justeru itu, sekali lagi ingatkan diri sendiri dan semua khasnya masyarakat Felda supaya menjauhi dadah kerana ia tak mendatangkan apa-apa kebaikan,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kes tiga lelaki yang ditahan di sebuah rumah di Felda Selancar 2, di sini, pagi kelmarin kerana memiliki dan positif dadah.

Sementara itu, beliau turut menyeru supaya mana-mana pihak tidak memandang isu berkenaan sebagai bahan gelak ketawa kerana umum mengetahui masalah dadah di tanah rancangan Felda bukan suatu yang baharu malah ia kini ibarat barah.

“Saya seru masyarakat Felda khasnya di Selancar supaya lebih berhati-hati dan ambil langkah berjaga-jaga sekiranya berhadapan dengan situasi terserempak dengan pesalah dadah.

“Belia Felda di dalam atau di luar jauhilah najis dadah dan berilah kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan pengedaran atau penagihan dadah, kepada polis dan AADK,” katanya ketika ditemui pada Program Mengedar Bubur Lambuk Pemuda Umno Rompin di Bazar Ramadan Bandar Tun Razak, di sini, kelmarin.

Hadir sama Exco Belia dan Sukan Pahang, Datuk Mohd Johari Hussain serta Adun Bukit Ibam, Datuk Wan Kadri Wan Mahusain.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PASIR MAS - [VIDEO] Impian seorang pengedar untuk melebarkan sayap dalam perniagaan ubat batuk dan dadah tidak kesampaian apabila wang modal berjumlah RM40,000 dirampas anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 Kuantan Khamis lalu.
  • JERANTUT - Polis Daerah Jerantut berjaya mematahkan usaha seorang pengedar dadah yang cuba melarikan diri dalam satu aksi kejar-mengejar yang berlaku di Felda Kota Gelanggi 3, Selasa lalu.
  • MARANG - Bapa dua anak ditahan setelah polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik menemui sejumlah 1,000 biji pil dipercayai dadah jenis pil kuda bernilai RM10,000 di sebuah rumah, di Jambu Bongkok petang Ahad lalu.
  • MARANG - Empat lelaki termasuk seorang dari mereka yang cuba meloloskan diri berjaya ditahan polis bersama 217 pil dipercayai dadah jenis pil kuda dalam serbuan di Pulau Kerengga di sini, Selasa lalu.
  • JOHOR BAHRU - Polis merampas 14 peket plastik lutsinar disyaki berisi dadah jenis heroin dan syabu dalam serbuan Ops Bersepadu di sebuah rumah di Kampung Tepi Sungai, Senai, Ahad lalu.