KUANTAN - Nelayan di daerah ini melahirkan rasa bimbang kepada pencerobohan nelayan asing yang semakin berani menghampiri sehingga ke kawasan pesisiran pantai, kata Pengerusi Persatuan Nelayan Kuantan Alif Hussin.

Menurutnya, ada di antara nelayan asing itu menceroboh sehingga kurang daripada 10 batu nautika daripada pesisiran pantai.

“Selain faktor keselamatan perkara itu juga menimbulkan keresahan nelayan tempatan ekoran peralatan menangkap ikan seperti bubu dan pukat rosak disebabkan nelayan asing.

"Turut menjadi masalah ialah kegiatan orang tempatan menggunakan warga asing sebagai pekerja yang merupakan satu kesalahan," katanya pada sesi Dialog bersama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Datuk Seri Mohd Shoffi Abdul Razak di Dewan Orang Ramai Balok di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Adun Beserah,, Andansura Rabu, Pengarah Perikanan Pahang Azahari Othman dan Komander V.Siva Kumar yang mewakili Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Wilayah Timur.

Siva Kumar memaklumkan statistik Maritim Malaysia menunjukkan sebanyak 25 tangkapan melibatkan nelayan asing telah direkodkan sehingga awal November ini.

"Purata tangkapan yang di buat adalah dua hingga tiga bot setiap bulan dengan jumlah tertinggi dicatatkan pada Ogos iaitu enam buah bot," katanya.

Selain itu, Siva Kumar menambah Maritim Malaysia juga menahan 54 buah bot nelayan tempatan atas pelbagai kesalahan.

Beliau memaklumkan Maritim Malaysia melakukan rondaan setiap hari di perairan negeri ini dalam usaha membanteras masalah pencerobohan nelayan asing. - Bernama