KUANTAN - Kerja-kerja pelupusan tongkang dan kewujudan sampah dipercayai dibuang pihak tidak bertanggungjawab  di kawasan pantai Kampung Sungai Ular menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan penduduk.

Ekoran masalah itu, penduduk khuatir  pantai akan tercemar dan menimbulkan  pelbagai masalah.

Aduan penduduk  mendapat perhatian Adun Beserah, Andansura Rabu apabila beliau turun padang meninjau kawasan itu, pagi tadi.

Andansura berkata, beliau akan mendapatkan penjelasan daripada pihak syarikat yang menjalankan kerja-kerja pelupusan tongkang sama ada kawasan itu diluluskan untuk kerja-kerja tersebut atau sebaliknya.

Menurutnya, timbul persoalan kerana kerja-kerja melupuskan tongkang  tersadai itu dilakukan di kawasan pantai dan berhampiran dengan penempatan  penduduk.

“Penduduk mendakwa mereka tidak selesa dan dikhuatiri berlaku pencemaran pantai  berdasarkan kesan minyak dipercayai dari kawasan kerja-kerja itu selain asap daripada jentera yang digunakan.

"Saya akan berjumpa dengan pihak syarikat untuk mendapatkan jawapan sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut termasuk merujuk kepada agensi yang bertanggungjawab,”katanya.

Beliau difahamkan tongkang itu tersadai dan sebahagiannya tertanam dalam pasir dan mungkin tidak dapat ditarik keluar hingga terpaksa dilupuskan sebagai besi buruk.

http://polopoly.karangkraf.com:8080/polopoly/polopoly_fs/1.858063.1531983241!/image/image.jpg

Aktiviti pelupusan tongkang yang menimbulkan rasa kurang senang penduduk

Bagaimanapun katanya, sebarang tindakan perlu mengambil kira kepentingan masyarakat dan alam sekitar memandangkan kawasan itu menjadi tumpuanuntuk bersantai dan sebagainya.

Sementara itu katanya, penduduk turut membuat aduan berhubung pembuangan sampah haram di kawasan itu yang turut mengundang kepada pencemaran.

“Perbuatan ini tidak sepatutnya berlaku kerana berdasarkan kepada sampah yang dibuang, ia bukan sampah domestik.

“Jika ia tidak ditangani, masalah ini boleh menyebabkan isu pencemaran alam sekitar terutama aspek kebersihan di kawasan pantai ini,”katanya.