$entry.content.caption.value
$entry.content.caption.value
KEDAIK ASAL - Kira-kira 15 keluarga Orang Asli yang tinggal di Kampung Kedaik Asal, berisiko tinggi berdepan ancaman tanah mendap selagi kerja-kerja melombong pasir tidak dihentikan serta merta di kampung berkenaan.
Penduduk mendakwa, operasi melombong itu membahayakan keselamatan mereka berikutan kerja-kerja tersebut dilakukan terlalu hampir dengan beberapa rumah penduduk.
Ironinya, sejak lebih 20 tahun lalu, penduduk seakan-akan lali dengan keadaan itu, namun dengan peningkatan kes sosial, masalah kesihatan dan perubahan bentuk muka bumi di kampung itu menyebabkan mereka mula mempersoalkan pemberian permit melombong kepada pihak berkaitan.
Justeru, penduduk merayu supaya Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang mengkaji semula pemberian permit melombong pasir kepada syarikat terbabit supaya keselamatan mereka tidak terancam.
Khuatir tanah mendap
Tok Batin Kedaik, Booh Suan berkata, sekiranya kerja-kerja melombong pasir itu diteruskan, penduduk khuatir kemungkinan berlakunya perubahan struktur muka bumi di kampung mereka.
Menurutnya, kerja-kerja mengorek pasir dilakukan kira-kira 200 meter dari rumah penduduk dan mereka bimbang ia akan menyebabkan hakisan tanah.
Katanya, keadaan itu perlu ditangani segera bagi memastikan keselamatan penduduk terutama mereka yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Kedaik Asal tidak dihantui kejadian tanah mendap suatu hari nanti.
“Jika keadaan ini tidak diatasi segera, kita bimbang tanah di kampung ini akan mendap dan kemungkinan boleh mengakibatkannya tertimbus,” katanya kepada Sinar Harian.
Booh berkata, keadaan bertambah buruk apabila sebahagian kawasan kampung berisiko dinaiki air setiap kali musim tengkujuh.
“Pada waktu dahulu kawasan ini jarang dinaiki air, tetapi setelah kerja-kerja melombong semakin giat dijalankan, kawasan ini sering dinaiki air terutama ketika hujan berterusan,” katanya.
Jalan kampung rosak
Rositah Tan Teck Yu, 33, berkata, kerja-kerja melombong pasir juga menyebabkan jalan utama di kampung itu rosak teruk akibat sering dilalui kenderaan berat.
Menurutnya, kehadiran lori juga menyebabkan laluan masuk ke kampung mereka berdebu dan boleh mengancam kesihatan penduduk yang tinggal berhampiran.
“Kami sudah tidak tahan dengan keadaan ini, apatah lagi lori mengangkut pasir menggunakan jalan ini sebagai laluan utama mereka hingga menyebabkan sebahagian besar jalan di kampung ini rosak,” katanya.
Rositah berkata, kerja-kerja menggali itu juga tidak mendatangkan apa-apa kebaikan kepada ekonomi penduduk, malah mendatangkan kesulitan kepada mereka apabila terpaksa berdepan dengan pelbagai masalah setiap hari.
Katanya, kebanjiran warga asing di kampung itu turut memberi impak negatif kepada penduduk termasuk kes seorang gadis Orang Asli dirogol oleh seorang pekerja asing.
“Kami khuatir masalah sosial di kampung ini semakin serius kesan kemasukan warga asing yang bekerja di lombong ini,” katanya.
Bagi Fauziah Aling, 40, lombong itu mengundang risiko bahaya kepada penduduk khususnya anak-anak mereka.
Katanya, kebanyakan anak-anak Orang Asli di situ kerap turun ke bawah cerun bukit untuk bermain dan berenang di kawasan lombong.
“Kami bimbang keasyikan mereka bermain dan berenang di kawasan lombong boleh menyebabkan mereka lemas, tambahan pula kami kadang-kadang sukar mengawal tindak tanduk mereka ketika keluar bermain,” katanya.
Harap PTG selesai masalah
Ketua Umno Cawangan Kedaik Asal, Adnan Boji berkata, PTG Pahang diharap dapat membantu penduduk menyelesaikan masalah itu kerana ia sudah lama membelenggu mereka.
Menurutnya, penduduk sudah lama bersabar dan berharap ia dapat ditangani secara baik bagi memastikan keadaan persekitaran kampung itu terus selamat pada masa akan datang.
Sementara itu, Jurucakap PTG Pahang ketika dihubungi Sinar Harian memaklumkan akan menjalankan siasatan lanjut berhubung dakwaan penduduk.





