JENGKA - Penduduk Felda Jengka 13, di sini meminta pihak berkaitan mengambil tindakan segera berhubung masalah jalan sempit yang dipercayai faktor kerap berlaku kemalangan.

Pemilik Bengkel IBJ Motor, Hamili Ibrahim, 44, berkata, sejak beberapa tahun lalu kemalangan kerap berlaku di hadapan bengkelnya itu.

“Dah banyak kali. Masa nak raya hari tu pun tiga kenderaan terbabas. Tapi taklah sampai rempuh kedai saya. Rabu lalu saya nampak lori terbabas ke bahu jalan, bila pemandu balas stereng untuk masuk ke laluan betul, lorinya terbabas langgar tiang elektrik sebelah sini pula.

“Tiang tu terus jatuh hempap bahagian depan bengkel. Ketika itu saya dan dua pekerja ada dalam bengkel. Nasiblah kami tak cedera. Pemandu lori pun selamat. Berdebar tu tak payah cakaplah...memang susah hati bila jadi macam ni. Perniagaan pun terganggu sebab kedai runtuh,” katanya.

Peniaga premis bengkel perabot di Jalan Besar Jengka 13, di sini, Azahari Mohd Nor, pula berkata, laluan Bandar Pusat Jengka-Kuala Krau merupakan laluan utama kenderaan yang menghubungkan beberapa daerah termasuk Temerloh, dan Jerantut.

Menurutnya, sudah tiba masanya pihak berwajib mengambil serius isu jalan di sini dengan membesarkannya atau menaik taraf bahu jalan kerana ia semakin sibuk dengan pelbagai jenis kenderaan.

“Lebih-lebih lagi apabila ada perlawanan bola sepak di Stadium Tun Abdul Razak Jengka. Orang luar yang datang ke sini menggunakan aplikasi navigasi kebanyakannya akan dibawa melalui laluan ini.

“Saya yang berniaga dan tinggal di sini pun kadang-kadang risau dan takut dengan keadaan jalan yang terlalu sibuk.

“Jalan pula terlalu sempit, kalau kenderaan besar berselisih salah satunya kena mengalah dan masuk ke bahu jalan,” katanya ketika ditemui pemberita di premisnya, semalam.

Azahari mendakwa, jawatankuasa setempat menerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sudah beberapa kali mengajukan aduan, namun hasilnya tetap sama.

“Paling tidak pun selepas buat aduan, mereka tambak sisi jalan guna tanah merah. Selepas hujan, terhakislah. Sampai sekarang tak selesai,” katanya.

Susulan kejadian kemalangan melibatkan sebuah lori terbabas di hadapan premisnya kelmarin, dia percaya keadaan jalan menyumbang kepada  kemalangan.

“Memang tak dinafikan kalau ada pemandu cuai atau mengantuk pun jadi punca kemalangan.

“Tapi kalau jalan besar dan selesa, mungkin kemalangan boleh dielakkan.

“Apa yang penting bahu jalan tu kena tinggi. Anda sendiri boleh bayangkan kalau tiba-tiba selisih dengan lori. Memang ke tepi lah jawabnya,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA TERENGGANU - Penduduk di dua kampung di sini dikatakan berbalah mengenai sempadan tanah kubur.
  • SEMENYIH - Penduduk di Taman Naqsyabandiah di sini, kesal dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang dipercayai mencuri air milik Air Selangor berhampiran kawasan perumahan mereka.
  • KOTA BHARU - Penduduk di Taman Perumahan Desa Petaling di Kok Lanas di sini, menggesa pihak berkuasa supaya memantau keadaan longkang dan tebing yang pecah ekoran aliran air longkang yang laju terutamanya ketika hujan.
  • PASIR MAS - Lebih 300 penduduk di Kampung Kubang Panjang, di sini, menggesa pihak berkenaan segera membina lampu jalan di kawasan berkenaan bagi mengelakkan lebih banyak kemalangan berlaku.
  • KUALA LUMPUR - Penduduk Taman Lucky Bangsar menggesa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyelesaikan isu peniaga di Lorong Ara Kiri 3 yang didakwa menimbulkan kacau ganggu dan halangan.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.