KUANTAN - Seorang lelaki terkejut apabila menerima bil elektrik di sebuah premis perniagaan yang tidak pernah disewa olehnya di Jalan Wong Ah Jang, di sini,  tertunggak kira-kira RM24, 797.29.

Perkara tersebut diketahui Richard Heng Soon Hong, 27, selepas dia menerima notis daripada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) berhubung tunggakan terbabit di rumah keluarganya di Lorong  Galing, di sini, awal Mac lalu.

Richard berkata, dia tidak pernah menyewa mana-mana premis untuk menjalankan perniagaan sekitar tahun 2013 kerana pada ketika itu sedang melanjutkan pelajaran di Kuala Lumpur.

“Bila dapat notis itu saya hairan kenapa nama saya tertera dalam bil tersebut. Sedangkan saya tak pernah memohon.

“Saya ada buat semakan dengan TNB, dan pihak itu (TNB) maklumkan permohonan untuk mendapatkan elektrik di premis perniagaan itu pada 2013.

“Pihak TNB ada memaklumkan pihak mereka menerima bayaran terakhir pada 24 Disember 2014,” katanya ketika membuat aduan itu di Pejabat Dun Teruntum di sini, semalam.

Richard turut memaklumkan, dia pernah kehilangan kad pengenalan pada tahun 2013, dan menyedari perkara itu selepas seseorang memberikan kepadanya. 

“Saya tak perasan bila kad pengenalan saya hilang. Mungkin sebab itu ada orang guna identiti saya untuk buat permohonan untuk dapatkan elektrik di premis perniagaan terbabit,” katanya.

Bagaimanapun, menurutnya, selepas menerima notis terbabit, dia buntu dan tidak tahu mengetahui bagaimana cara untuk menyelesaikan masalah terbabit.

Justeru, dia membawa permasalahan ini kepada Adun Teruntum, Sim Chong Siang bagi membolehkan isu tunggakan bil elektrik ini dapat diselesaikan segera.

“Saya terpaksa jumpa YB Sim. Saya harap dia dapat membantu menyelesaikan masalah saya ini.

“Saya tak ada wang sebanyak itu untuk lunaskan semua bayaran,” katanya.

Richard kemudian membuat laporan polis berhubung perkara itu di Balai Polis Daerah Kuantan  selepas mendapat nasihat daripada wakil rakyat tersebut.

Sementara itu, Chong Siang berkata, beliau dan Richard telah ke pejabat TNB untuk mendapatkan maklum balas.

Bagaimanapun, katanya, pegawai TNB yang bertanggungjawab mempunyai urusan di luar daerah ini.

“Wakil TNB minta kita datang dua tiga hari lagi bagi mendapatkan reaksi balas pegawai berkaitan,” katanya.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.