KUANTAN - Keterujaan pembeli duduk rumah baharu di Taman Perumahan Seri Setali 106 kini bertukar masalah kepada mereka.

Ini berikutan kediaman mereka mengalami kerosakan, didakwa punca dari pemaju.

Chee Sook Ying, 39, berkata, dia mengambil kunci pada bulan April lalu tetapi banyak kerosakan berlaku walaupun pertama kali jejak kaki ke rumah baharunya itu.

Menurutnya, perkara ini telah pun diadukan kepada pemaju tapi tiada tindakan diambil.

"Malah pemaju lepas tangan dan berkata kerosakan berpunca dari kecuaian pemilik.

"Keadaan rumah saya bukan seperti rumah baharu kerana cat di luar rumah pudar. Keadaan cat di dinding dalam rumah tidak rata dan terdapat pintu rumah yang sudah berkarat.

“Tingkap di belakang rumah pula masuk air setiap kali hujan.

"Saya harap pemaju tidak berdiam diri dan cuba selesaikan masalah ini,” katanya kepada Sinar Harian ketika mengadakan pertemuan bersama wakil pemaju di sini, hari ini

Turut hadir sama, Pegawai Khas Menteri Luar negeri, Koh Yen Yee.

Dalam pada itu, Leong Kwai Pok, 42, berkata, disebabkan kerosakan itu, rumahnya dipecah masuk oleh pencuri menyebabkan dia kerugian besar.

“Saya telah kehilangan wayar elektirk dan wayar penyaman udara menelan kos lebih kurang RM20,000.

"Saya pun tak boleh nak buat ubah suai rumah dengan memasang sistem keselamatan kerana rumah masih dalam jaminan.

“Jika saya melakukan pengubahsuaian, pintu senget dan keretakan sebelum ini akan dipersalahkan kepada saya," katanya.

Tambahnya, dia berharap, hasil perbincangan dengan pemaju hari ini, masalah dapat diselesaikan.

Sementara itu, wakil pemaju, David Wu berkata, kebanyakan pembeli mengubah suai rumah mereka dan pihaknya tidak bertanggungjawab atas kesalahan tersebut.

Namun, pihaknya akan bertanggungjawab terhadap permasalahan kecil dihadapi pemilik bagi meringankan beban mereka.

“Kita akan cat semula rumah yang pudar dan saya akan semak semula keretakan rumah.

"Kita akan perbaiki namun saya harap pemilik dapat bersabar dan beri masa kepada kami,” katanya.