KUANTAN - [DIKEMASKINI] Seramai 118 bekas pekerja syarikat pengeluar keluli bersepadu terbesar di Malaysia yang beroperasi di Pusat Perindustrian Gebeng, di sini, yang mendakwa diberhentikan kerja secara mengejut tampil menuntut bekas majikan mereka membayar gaji tertunggak dan memberi pampasan segera.

Tuntutan yang dianggarkan berjumlah RM700,000 merupakan sebahagian gaji dan pampasan kepada pekerja yang diberhentikan secara berperingkat sejak penghujung 2016 sehingga 16 Oktober lalu.

Sinar Harian difahamkan, syarikat yang terut tersenarai dalam Bursa Malaysia itu bertindak mengurangkan operasi berikutan kekurangan permintaan besi di pasaran dunia.

Bekas pekerja terbabit turut mendakwa syarikat itu tidak membayar caruman dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) walaupun ada membuat pemotongan berdasarkan keterangan pada penyata gaji.

Wakil pekerja terbabit, Zafran Ahmad, 43,  berkata tindakan bekas majikan tidak membayar gaji tertunggak dan pampasan yang sepatutnya diterima mereka adalah mengecewakan dan disifatkan sebagai penganiayaan.

"Mereka tidak sepatutnya bertindak demikian kerana membebankan pekerja secara mendadak yang perlu menanggung perbelanjaan keluarga dan ada di antaranya masih belum mendapat pekerjaan sehingga sekarang.

"Selepas beberapa kali gagal berbincang dengan pihak pengurusan syarikat, kita membawa perkara ini kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) yang kemudian mengatur perbincangan di antara pekerja dan majikan pada 15 November lalu, namun sekali lagi ia mengecewakan kerana mereka tidak menghantar wakil.

"Kini kita bertindak mengambil tindakan undang-undang dan ia masih dalam proses bagi memastikan hak kami diperoleh," katanya yang sebelum ini bekerja sebagai penyelia di kilang itu.

Zafran ditemui selepas mengadakan perhimpunan secara aman bagi menuntut mereka membayar gaji tertunggak dan pampasan bersama 50 bekas pekerja di hadapan kilang tersebut, di sini, hari ini.

Manakala bagi, Mohd Khaizal Idris, 42, yang bekerja sebagai penyelia mesin di syarikat berkenaan dan  diberhentikan penghujung 2016, berkata, mereka ada membawa masalah itu di Mahkamah Perusahaan yang kemudiannya memutuskan bekas majikannya itu perlu membayar tunggakan gaji.

"Tetapi sampai sekarang mereka masih belum berjaya berbuat demikian, sepatutnya mereka bayar penuh gaji kami tetapi hanya membayar gaji bagi 12 hari bekerja.

"Kami amat memerlukan pembayaran tunggakan gaji berkenaan yang boleh digunakan untuk menyediakan kelengkapan persekolahan anak serta membayar hutang," katanya.

Sementara itu, wakil syarikat berkenaan yang berjaya dihubungi berkata, pihaknya hanya akan membuat pembayaran tunggakan gaji dan pampasan selepas proses perbincangan selesai dan jumlah sebenarnya dimuktamadkan.

"Jumlah yang dianggarkan hanyalah RM700,000 dan kita kini dalam proses perbincangan dengan kesatuan pekerja untuk terus bertindak.

"Selain itu jumlah tuntutan yang sebenar perlu dimuktamadkan oleh peguam dan apabila semua sudah selesai baru syarikat boleh membuat pembayaran kepada mereka," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • GOMBAK - Seorang pekerja kedai runcit maut ditikam, manakala seorang lagi cedera dalam kejadian di Taman Selayang, Batu Caves, di sini, tengah malam tadi.
  • GEORGETOWN - Pulau Pinang masih mengalami kekurangan pekerja dengan anggaran 20,000 orang yang diperlukan dalam usaha meningkatkan lagi pembangunan ekonomi di negeri ini.
  • SHAH ALAM - Jabatan Imigresen Selangor menahan 31 pekerja pusat urut warga asing selepas menggempur lapan premis termasuk sebuah rumah sewa yang dijadikan asrama di sekitar Setia Alam di sini, Subang Jaya dan Petaling Jaya dalam ‘Ops Gegar’ yang berakhir awal pagi tadi.
  • ALOR SETAR - Sebahagian tukang cuci di lima sekolah di Kuala Kedah, di sini, yang tidak menerima bayaran gaji sejak dua bulan lepas akhirnya menerima tunggakan untuk September.