TEMERLOH - Bekalan minyak masak paket satu kilogram yang dikatakan sukar diperoleh di beberapa pasar mini dan kedai runcit di daerah ini sebenarnya mencukupi untuk kegunaan isi rumah.

Tinjauan di sebuah syarikat pemborong dan pembungkusan di Taman Perindustrian Temerloh bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Cawangan Temerloh di sini semalam mendapati bekalan minyak masak dihantar kepada pengguna sebanyak 500 karton atau 8.5 metrik tan sehari.

Pemilik syarikat pemborong Chop Wan Chong, Bong Chee Joon berkata, syarikatnya salah satu dari tiga pembekal minyak masak  yang menghantar bekalan untuk daerah Temerloh dengan menghasilkan 27 peratus kegunaan penduduk Temerloh.

Menurutnya, pihaknya baharu sahaja menerima sebanyak 23 metrik tan daripada pembekal kelmarin dan sedang membungkus untuk edaran di beberapa kawasan termasuk Temerloh dan Bentong.

“Ada tiga pemborong dan pembungkus utama di daerah ini, kami sahaja mengeluarkan 8.5 metrik tan setiap hari, minggu hadapan atau Jumaat ini kami tambah lagi bekalan, kuota kami masih ada,” katanya.

Sementara itu Ketua Cawangan KPDNKK Temerloh Rosdi Abdullah berkata, kekurangan minyak masak di pasar mini atau kedai runcit tertentu mungkin disebabkan mereka menerima bekalan dari luar atau masalah lain.

Menurutnya, dari segi bekalan untuk edaran di daerah Temerloh tidak ada masalah kerana berdasarkan pemerhatian di beberapa pasar raya besar bekalan minyak masak paket satu kilogram masih banyak.

“Kita harapkan pengguna tidak melakukan pembelian panik kerana bekalan minyak masak ini sebenarnya tidak ada masalah dari segi stok.

“Seperti yang kita lihat hari ini bekalan minyak masak yang dihantar oleh satu daripada tiga pembekal mencukupi untuk pasaran daerah Temerloh.

“Pada masa yang sama juga kita mengharapkan peniaga selain daripada isi rumah menggunakan minyak masak botol untuk perniagaan mereka,” katanya.

Menurutnya, daripada tinjauan KPDNKK mendapati satu daripada tiga pemborong yang ada mengeluarkan 500 karton atau 8.5 metrik tan dan jumlah itu sudah tentu bertambah dengan dua lagi pemborong lain.

Rosdi berkata, orang ramai digesa berhubung terus dengan KPDNKK sekiranya berhadapan dengan masalah untuk mendapatkan bekalan minyak masak.

“Kita juga yakin bekalan minyak masak ini tidak ada masalah untuk diperoleh semasa sambutan Tahun Baru Cina nanti,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KAMPUNG NYOIR TUJUH - Tidak sampai dua jam sebanyak 8,000 kilogram minyak masak dan gula yang dijual dengan harga lebih rendah habis terjual pada program ‘Jualan Minyak Masak dan Gula Harga Rakyat, di Pasar Tani Kekal di sini, kelmarin.
  • MIRI - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri,Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) tidak akan menambah kuota bekalan minyak masak peket bersubsidi satu kilogram bagi menampung permintaan tinggi sepanjang musim perayaan dan Ramadan di Sarawak.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.