KUALA LIPIS - Dua individu termasuk seorang bayi maut dalam kemalangan membabitkan dua kereta Toyota Vios di Kilometer 7 Jalan Lipis-Merapoh berhampiran Tempoyang di sini, semalam.

Ketua Polis Lipis, Superintendan Azry Akmar Ayob berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai Muhammad Syafiq Khor Abdullah, 45 yang merupakan seorang mualaf dan seorang bayi lelaki, Muhammad Nur Rayyan Sulaimi Abdullah yang berusia sebulan.

Menurutnya, kejadian kira-kira jam 4.20 pagi itu dipercayai berlaku apabila kereta dipandu bapa Muhammad Nur Rayyan Sulaimi, Suhaimi Mohamed, 40 bersama ibu, Nor Faizula Md Yusoff, 26, serta Muhammad Syafiq Khor yang merupakan rakan Suhaimi dalam perjalanan dari Merapoh menghala ke Lipis.

“Keluarga terbabit dikatakan baru selesai menghadiri kenduri kahwin di Kota Bharu, Kelantan dan dalam perjalanan pulang ke Puchong, Selangor.

“Sampai di tempat kejadian kereta dipandu Suhaimi terbabas dan berpusing sebelum memasuki laluan bertentangan.

“Dalam masa sama datang sebuah kereta dipandu Jesse Thoo Joon Ming, 41, dari arah Lipis ke Merapoh mengelak ke kiri jalan tetapi berlanggar dengan kereta dipandu Suhaimi,” katanya.

Azry berkata, akibat perlanggaran itu Muhammad Syafiq Khor yang duduk di bahagian kiri penumpang belakang maut akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Muhammad Nur Rayyan Sulaimi yang duduk di pangkuan Nor Faizula di bahagian penumpang hadapan kereta pula terlepas dari pegangan ibunya dan tercampak keluar dari kenderaan.

Beliau berkata, bayi tersebut mengalami kecederaan parah di kepala dan badan telah dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk mendapatkan rawatan, namun disahkan meninggal dunia di Unit Kecemasan Hospital Lipis.

“Jesse dan Nor Faizula yang cedera menerima rawatan di Hospital Kuala Lipis, manakala Suhaimi tidak cedera,” katanya.

Kedua-dua mayat mangsa dibawa ke rumah mayat Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga untuk dikebumikan di Puchong, Selangor.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BATU GAJAH - Laluan kedua-dua hala di Kilometer (KM) 13, Jalan Ipoh-Lumut terpaksa ditutup, hari ini selepas sebuah treler terbabas sebelum terbalik dan menyebabkan muatan simen yang dibawa bertaburan.
  • KOTA BHARU - Seorang pekerja restoran di Aeon Mall Kota Bharu maut selepas motosikal ditunggang terbabas merempuh jentolak berhampiran lampu isyarat di Jalan Maulana Khurasan, di sini, malam kelmarin.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.