KUANTAN – Seorang ibu tunggal dan anaknya mendakwa hidup dalam ketakutan akibat diugut dan diancam oleh beberapa individu menerusi aplikasi WhatsApp.

Chong, 44, berkata, mereka berdua diperlakukan sedemikian sejak gambar bogel dia dan anaknya tersebar, dipercayai angkara bapa angkat yang dikenali sejak dua tahun lalu.

Menurutnya, selain bapa angkatnya, seorang lelaki yang menggunakan gelaran A, turut mengugutnya menerusi aplikasi Facebook Mesengger dan WhatsApp.  

“Mereka ugut nak bakar rumah, nak bunuh saya dan turut minta wang jika saya tak ikut kehendak mereka. Jadi pada mulanya saya terpaksa ikut kehendak mereka demi keselamatan diri dan anak.

“Namun, selepas beberapa bulan, saya masih terima ugutan sehingga tertekan dan tak tahan lagi berdepan masalah yang berlaku, akhirnya saya ambil keputusan buat laporan polis selepas mendapatkan nasihat daripada pemimpin di kawasan ini,” katanya.

Dia berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas membuat aduan di Pejabat Adun Teruntum, di sini semalam.

Hadir sama,  Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh dan Adun Teruntum, Sim Chong Siang.

Chong berkata, ugutan berterusan diterimanya selepas gambar bogel dia dan anaknya tersebar, malah ada beberapa individu mengajaknya menjalinkan hubungan intim.

Katanya, dia tidak menyangka, hubungan baik terjalin dengan bapa angkatnya itu bertukar menjadi mimpi ngeri apabila anaknya dipaksa dan dipergunakan oleh lelaki terbabit supaya menghantar gambar bogel.

Menurutnya, akibat tindakan anaknya mengikut kehendak lelaki itu, mereka berdua kini terpaksa mengikut segala kemahuannya kerana bimbang anak tunggalnya diapa-apakan.

“Saya tak sangka selepas saya ikut segala kemahuan dia (bapa angkat) gambar kami dua beranak disebarkan dan saya kini tertekan kerana beberapa individu mengganggu hidup saya serta meminta saya melakukan hubungan seks.

“Wang RM2,590 telah saya berikan kepada bapa angkat bagi memastikan gambar-gambar tersebut tak disebarkan tapi perkara sama tetap berulang kerana boleh dikatakan, hari-hari saya terima pesanan kurang menyenangkan,” katanya.

Chong berkata, laporan dibuat di Balai Polis Kuantan bagi membolehkan siasatan dan tindakan lanjut diambil.

Dia turut memohon perlindungan daripada polis kerana bimbang ugutan terus diterima dan diapa-apakan.

Sementara itu, Fuziah berkata, pihaknya sedaya upaya membantu mangsa dengan mengheret individu yang melakukan jenayah siber dan mengeksploitasi kanak-kanak terbabit ke muka pengadilan.

Katanya, kerajaan meluluskan akta baharu berkaitan jenayah seksual kanak-kanak dan ia mampu membantu kanak-kanak yang digunakan bagi tujuan tidak baik.

“Saya dan YB Sim (Adun Teruntum) akan meminta pihak polis menyiasat perkara ini di bawah akta baharu itu kerana ia sudah dilaksanakan,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.