KUANTAN - Kerajaan menerima cadangan Persatuan Insaf Pahang (PIP) untuk melaksanakan program bertukar kerjaya kepada golongan mak nyah atau transgender di negara ini.

Ini dalam usaha membantu golongan ini keluar daripada belenggu sebagai pekerja seks.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata, program seperti itu telah pun dilaksanakan oleh PIP dan terbukti mewujudkan kesan positif kepada golongan berkenaan untuk terus berubah.

Menurutnya, pihaknya memberi tanggungjawab kepada PIP bagi membantu menyediakan kertas kerja program tersebut sebelum ia diperluaskan ke seluruh negara.

"Hasil pertemuan, ramai di kalangan mereka yang mengakui mahu kembali ke pangkal jalan namun tidak diberi peluang untuk mendapatkan pekerjaan yang lebih baik, menyebabkan akhirnya mereka kembali terjebak dengan pekerjaan lama.

"Kita akan bimbing mereka walaupun tiada kemahiran supaya mereka dapat berdikari mencari pendapatan. Sehubungan itu, melalui program ini kita mahu mereka secara sukarela meninggalkan pekerjaan lama mereka.

"Kita akan berikan mereka kemahiran, kelayakan atau sijil untuk menceburi bidang perniagaan, andaman, solekan, katering dan rekaan fesyen,” katanya selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra bersama warga PIP di Taman Kampung Padang Damai, Jalan Sungai Lembing, di sini, hari ini.

Majlis turut dihadiri Pengarah Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Komuniti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Ruslan Said; Penolong Pengarah Kanan Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Pahang, Naemah Fairus Mohd Jelani dan Pengerusi PIP, Mohamed Bakri Abu Bakar.

Dalam pada itu, Fuziah berkata program yang akan dilaksanakan dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan itu dijangka mampu memberi masa depan yang lebih cerah kepada golongan berkenaan selain pendapatan yang lebih baik.

Tambahnya, walaupun mereka mendapatkan ilmu dan kemahiran melalui program ini namun mereka perlu sentiasa mengikuti program pemulihan yang telah dilaksanakan oleh PIP.

Sementara itu, ditanya mengenai hukuman sebat, pihaknya menyambut baik pelaksanaan sebat kepada golongan songsang namun pelaksanaan hukuman di khalayak ramai perlu dinilai semula kerana melibatkan banyak faktor.

“Hukuman sebat kita tidak pernah pertikaikan namun hukuman di khalayak ramai itu perlu dilihat semula sama ada beri kesan lebih positif atau negatif..kalau kesan mendidik kepada pesalah itu memadai tetapi untuk beri pengajaran kepada orang lain perlu difirkan semula,” katanya.