SEBERANG TEMERLOH - Sebuah rumah didiami warga emas di Kampung Bukit Resak di sini ditenggelami banjir kilat hampri satu meter selepas hujan lebat lebih tiga jam petang semalam.

Kejadian turut menyebabkan dua lagi rumah bersebelahan rumah warga emas terbabit hampir dinaiki air.

Dalam kejadian itu, Jahariah Abdullah, 80 yang tinggal dua beranak bersama anak lelakinya Mohd Khairudin Abdul Majid 53, yang kurang upaya terpaksa memindahkan barang serta perabot di bahagian dapur kira-kira jam 10 malam selepas paras air mencecah lutut.

Menurutnya, hujan bermula jam 6 petang sangat lebat dan lama menyebabkan air bertakung di keliling rumahnya mula memasuki bahagian dapur rumah.

"Ini kali kedua banjir kilat, dua minggu lepas dah kena tapi tidak seteruk ini," katanya kepada Sinar Harian.

Jahariah berkata, dia mula memunggah barang berharga apabila hujan semakin lebat dan berterusan sehingga tengah malam.

Menurutnya,paras air yang surut pagi semalam tidak banyak berubah dan dibimbangi akan bertambah buruk sekiranya hujan lagi hari ini.

"Air yang bertakung hanya surut sikit saja, bahagian dapur rumah saya masih ditenggelami air," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bukit Resak Taharuddin Sulaiman berkata, kejadian banjor kilat itu dipercayai berpunca dari pembetung di bawah jalan raya laluan Temerloh ke Kuantan yang mungkin tersumbat.

Menurutnya, dalam tempoh singkat berlaku dua kejadian banjir kilat di kampung tersebut dipercayai akibat pembetung di bawah jalam raya yang tersumbat.

"Pagi tadi penghulu telah datang menyampaikan sumbangan tikar dan makanan kepada keluarga yang terlibat, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga datang meninjau keadaan air juga Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) yang berusaha membantu sekiranya mangsa ingin pindah..

"JKKK sudah dimaklumkan JPS, pembetung di bawah laluan itu adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihaknya akan memaklumkan masalah itu kepada pihak JKR," katanya.

Taharuddin berkata, JKKK Bukit Resak minta masalah yang berlaku itu diberi keutamaan dengan kerja selenggara pembetung di bawah laluan itu disegerakan kerana ia melibatkan kerugian harta benda kepada penduduk.

Menurutnya, JPS juga diminta beri kerjasama menyelenggara bahagian hilir longkang atau sistem saliran tersebut supaya kejadian sama tidak berulang.

"Selain daripada bantuan daripada pejabat penghulu, JKKK juga akan menyampaikan bantuan kepada keluarga terlibat," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MELAKA - Jumlah mangsa banjir kilat di Melaka menurun kepada 149 orang setakat 10.30 pagi ini berbanding 200 orang, malam tadi.
  • JOHOR BAHRU - Seramai 43 mangsa daripada tujuh keluarga di Batu Pahat dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kediaman mereka dilanda banjir kilat setinggi 0.6 meter.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.