JERANTUT - Kementerian bertanggungjawab diminta menyegerakan peruntukan bagi membaik pulih sebuah bangunan Sekolah Menengah Kebangsaan Jerantut (SMKJ) yang sudah tidak selamat untuk diduduki pelajar sejak hari pertama persekolahan, Selasa lalu.

Bangunan dua tingkat yang mempunyai 10 kelas di tingkat atas tidak lagi boleh digunakan memandangkan hampir keseluruhan bumbung bangunan terbabit rosak dan mula mereput.

Disebabkan itu, kira-kira 300 pelajar tingkatan empat dan dua terpaksa meneruskan sesi persekolahan mereka di dewan dan makmal sekolah sejak empat hari lalu.

Ahli Parlimen, Datuk Ahmad Nazlan Idris berkata, beliau menerima aduan daripada ibu bapa pelajar sekolah berkenaan justeru mengambil keputusan untuk membuat tinjauan bagi melihat keadaan bangunan itu petang kelmarin.

Hasil tinjauan, beliau mendapati beberapa bahagian atap sudah tercabut dan sebahagian bumbung kelihatan hampir roboh dengan keadaan struktur bumbung kayu yang kelihatan mengendur.

Ahmad Nazlan berkata, dia dimaklumkan oleh pihak sekolah bahawa kerosakan di bangunan yang dibina pada 1964 itu mula disedari pada hari pertama persekolahan.

“Saya juga terima aduan daripada ibu bapa salah seorang pelajar di sini yang memberitahu bahawa anaknya terpaksa belajar di dewan kerana kelasnya tak selamat digunakan dan terpaksa dipindahkan ke kelas lain.

“Oleh itu saya datang ke sini petang ini (kelmarin) dan turut minta pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi dapatkan penjelasan dan saya dimaklumkan juga pemeriksaan ke atas bangunan terbabit oleh pihak JKR (Jabatan Kerja Raya) mengesahkan bahawa bangunan itu tidak selamat untuk diduduki pelajar bagi sesi pembelajaran,” katanya.

Menurutnya lagi, laporan akan dibuat dan diserahkan kepada pihak Jabatan Pendidikan Negeri untuk dipanjangkan pula kepada Kementerian Pendidikan Malaysia bagi menyelesaikan masalah itu dengan segera.

“Jumlah kelas yang ada sekarang tidak cukup untuk menampung jumlah pelajar yang mencecah lebih 1,000 orang di sekolah ini dan kelas yang terlibat terpaksa ditempatkan di lokasi tidak selesa untuk sesi pembelajaran pelajar.

“Jadi saya rayu pihak kementerian ambil tindakan segera kerana memikirkan tentang keselesaan dan keselamatan pelajar memandangkan keadaan sekeliling bangunan juga didapati tidak selamat,” katanya.

Difahamkan, kini hanya di tingkat bawah bangunan sahaja yang digunakan selain pita keselamatan turut diletakkan bagi menjaga keselamatan pelajar dari kejadian yang tidak diingini.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - Berpuluh aduan dibuat oleh penduduk di Pangsapuri Vista Alam berkaitan masalah kerosakan lif dan keretakan bangunan, namun masih tidak berkesudahan hingga ke hari ini.
  • KOTA TINGGI - Kira-kira 3,000 anak pokok kelapa sawit yang ditanam di tanah ceroboh seluas 60.8 ekar dekat Mukim Ulu Sungai Sedili Besar disini dimusnahkan, pihak berkuasa hari ini kerana diceroboh.
  • KLANG - Kerja-kerja membaikpulih kerosakan bangunan dan kerja berkaitan di dewan orang ramai Kampung Padang Jawa dan balai JKKK Kampung Kuantan menggunakan peruntukan kerajaan negeri bukannya peruntukan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris) sepertimana yang didakwa pihak tertentu.
  • SEREMBAN - Hasrat untuk menjadikan bangunan baharu Medan Selera Ampangan, di sini sebagai salah satu tempat tarikan di negeri ini tidak tercapai apabila bangunan serba lengkap disediakan bernilai RM8.7 juta untuk keselesaan pengunjung kini suram ibarat kena 'sumpah'.
  • PUTRAJAYA - Seorang guru berjaya diselamatkan rakan sekerjanya selepas dipercayai cuba terjun dari tingkat empat bangunan sebuah sekolah di sini, pagi tadi.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.