BERA - Jabatan Perhutanan Negeri Pahang merampas 2,400 batang balak bernilai jutaan ringgit dalam serbuan di daerah ini pada Sabtu lalu.

Pengarahnya, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, kebanyakan balak itu jenis Meranti dan Keruing dengan berat kira-kira 2,500 tan dan bernilai sekurang-kurangnya RM3 juta itu ditebang di Hutan Simpan Chini dan Hutan Simpan Chini Tambahan di sini.

Menurutnya, serbuan dan rampasan itu dilakukan hasil pemantauan pihaknya dan aduan orang awam.

“Balak tersebut ditemukan di sembilan longgokan di sekitar hutan simpan berkenaan dengan anggaran berat 2,500 tan.

“Kita juga menahan empat suspek ketika sedang membawa keluar kayu belah, bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya.

Dr. Mohd. Hizamri berkata, seramai 60 anggota Jabatan Perhutanan serta Jabatan Hutan Daerah Bera dan Temerloh terlibat dalam operasi itu.

Katanya, tiga jentolak, dua pacuan empat roda dan sebuah lori turut disita dalam serbuan berkenaan.