SEBERANG TEMERLOH – Sejumlah wang kutipan derma hangus dipercayai dibakar pencuri akibat berang selepas gagal memecahkan tabung utama milik Masjid Batu 4 di sini, kelmarin.

Bendahari Masjid Batu 4, Abdul Wahab Kassim berkata, bagaimanapun hanya beberapa helai wang kertas kira-kira berjumlah RM80 sahaja terbakar dalam kejadian yang disedarinya kira-kira jam 9.30 pagi.

“Nasib baik yang terbakar itu sikit saja kalau nak dibandingkan keseluruhan jumlah wang kutipan yang ada dalam tabung itu,” katanya kepada Sinar Harian di sini.

Abdul Wahab berkata, pencuri itu dipercayai cuba membuka mangga pada tabung berkenaan menggunakan kunci berikutan terdapat anak kunci patah.

"Mungkin pencuri pada mulanya cuba buka kunci mangga tetapi anak kunci patah menyebabkan dia berang lalu membakar wang yang ada dalam tabung.

“Kami tidak pasti macam mana cara dia bakar duit dalam tabung itu, sama ada simbah petrol atau cara lain sebab bukan senang nak masukkan api ke dalam tabung yang lubangnya kecil," katanya.

Menurutnya, kebiasaannya wang tabung utama masjid itu dikutip sebulan sekali tetapi pihaknya mungkin menukar jadual mengutip kepada lebih kerap.

"Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid dah pun memaafkan si pelaku dan kami berdoa si pelaku diberikan taufik serta hidayah oleh ALLAH.

"Kita juga akan adakan perbincangan dan kemungkinan akan memasang kamera litar tertutup (CCTV) bagi memastikan kejadian ini tak berulang," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Paya Pulai, Brahim Kilau berkata, laporan polis tidak dibuat namun pihaknya mempunyai kaedah lain bagi mengelakkan kejadian sama berulang lagi.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.